PETALING JAYA – Seorang peguam hartanah wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi 34 pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM6 juta ke akaun beberapa pelanggannya, dua tahun lepas.

J. Shanti, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua mahkamah di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah dan Hakim Hilmiah Yusof.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, wanita empat anak itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM6,870,872.15 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun milik Tetuan Shanti Jeyapalan, Zeti Zulfah & Partners ke beberapa akaun pelanggannya.

Tertuduh, yang merupakan rakan kongsi firma itu, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Berhad Cawangan Taman Tun Dr Ismail dan Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Ara Damansara, di sini antara 30 April dan 17 November 2015.

Dia dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husmarudin Husin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Lim You Ping yang mewakili tertuduh, memohon jaminan munasabah terhadap anak guamnya atas alasan dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM560,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu serta syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes. – Bernama