Skim yang kononnya isi rumah akan dapat RM200 sebulan untuk berbelanja keperluan dapur, tetapi sehingga kini tidak dilaksanakan.

SELEPAS habis kelas pengajian Talaqqi di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam tadi, saya singgah di sebuah restoran mamak untuk basahkan tekak.

Saya dan isteri mengambil tempat duduk di penjuru restoran berkenaan yang berkebetulan pula ada sekumpulan ‘pak aji’ sedang borak-borak sambil sedut asap rokok.

Saya panggil mereka ‘pak aji’ sebab semua mereka (lima orang) memakai kopiah, berkain pelikat dan berbaju Melayu.

Sambil tunggu teh halia sampai, isteri pula leka menyemak aplikasi Whatsapp dalam telefon bimbitnya, saya sempat curi dengar perbualan kumpulan ‘pak aji’ di sebelah.

Bukan niat nak jaga tepi kain mereka, tapi dah kebetulan duduk sebelah menyebelah dan mereka pula bercakap dengan suara kuat, tanpa selindung-selindung, saya tadah dengar sajalah.

Dalam perbualan itu, saya dapat agak, yang bersuara lantang dan bijak bercakap itu rupanya pemimpin akar umbi sebuah parti komponen PH. Sebab dalam perbualanannya, semua program parti dia tahu. Semua aktiviti atau acara menteri besar serta wakil rakyat PH dia tahu.

Paling banyak dia bercerita dan yang paling menarik perhatian saya untuk lebih tekun lagi mendengarnya, mengenai kebaikan Skim Kasih Ibu Smart Selangor, atau ringkasnya Skim KISS.

Skim ini menurut seorang pak aji yang lagak macam pemimpin tu, telah dicadangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada November tahun lalu. Kemudian dibincang dan dibahaskan pada sidang Bajet 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember 2017, dan dicanangkan ke serata tempat oleh macai-macai PH.

Teh halia saya sampai. Isteri pula masih tekun menyemak aplikasi Whatsapp nya. Pak aji yang berlagak macam pemimpin tu nampak makin rancak bercakap pasal Skim KISS. Katanya, skim KISS jauh lebih baik dari skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kata pak aji itu, penerima BR1M diperuntukan RM1,200 setahun dan dibayar RM400 setiap empat bulan sekali. Ini katanya lagi, berbeza dengan Skim KISS. Penerimanya diberikan bantuan sebanyak RM200 setiap bulan untuk beli barangan keperluan harian.

Dalam keseronokan bercerita itu, tiba-tiba rakan di depan pak aji bertanya, “Dah mula ke belum Skim KISS tu?

“Belum lagi. Borang permohonan sedang dalam proses,” jawab pak aji.

Tanya rakannya lagi, bila agaknya Skim KISS itu akan dilaksanakan dan agak-agak permohonan isterinya lulus atau tidak?

Jawab pak aji, kalau isteri rakannya itu berpendapatan bawah RM2,000 sebulan dan tidak pernah menerima apa-apa bentuk bantuan sama ada dari Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, layaklah terima bantuan bawah Skim KISS.

Perbincangan dah mula menarik. Dua tiga lagi rakan pak aji dilihat mula mengemaskan punggung di kerusi masing-masing. Mungkin mereka berasa yakin pak aji boleh membantu permohonan isteri rakannya itu untuk mendapatkan bantuan bawah Skim KISS.

“Kalau isteri saya ada terima bantuan BR1M, tetapi buat diam-diam saja untuk dapatkan kad Skim KISS, boleh tak?” tanya rakannya.

“Tidak bolehlah. Skim ini khusus untuk golongan miskin yang tidak dapat apa-apa bantuan saja. Kerajaan negeri nak ringankan beban hidup mereka,” jawab pak aji yang cakapnya lagak macam wakil rakyat.

“Mana ada lagi orang miskin di Selangor ini yang tidak pernah terima bantuan? Semuanya dapat bantuan dari kerajaan BN melalui BR1M dan e-kasih.

“Kalau dah dapat, tak bolehlah mohon Skim KISS,” tingkah pak aji.

“Mana adil…” jawab rakannya, memanaskan perbincangan. Pelanggan lain dalam restoran itu mula jeling-jeling ke arah mereka.

“Kerajaan BN beri bantuan BR1M dan e-kasih kepada semua rakyat tanpa pilih kasih, tanpa pilih bulu dan tidak membezakan parti politik. Yang terima BR1M pula ada yang dapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dari Lembaga Zakat Selangor dan macam-macam lagi, mereka layak terima duit BR1M.

“Kerajaan BN tidak ambil kira pun semua itu sebagai syarat. Kenapa program Skim KISS, kerajaan negeri kenakan syarat ketat seperti kena undi calon Pakatan Harapan dulu baru dapat kad KISS?

Pak aji mula diam. Saya pula makin teruja dengar perbahasan mereka. Isteri dah mula bisik nak balik. Mungkin dia pun dengar perbualan kumpulan pak aji di sebelahnya itu dan merasa kurang senang.

Saya kata, “tunggu dulu..air (teh tarik) belum habis lagi ni…”

Rakan pak aji yang berusia hampir lima dekad itu mula mengasak bertubi-tubi. “BR1M, walaupun dibayar tiga atau empat bulan sekali, sekurang-kurangnya semua dapat merasa. Aku dapat, anak jantan aku pun dapat.

“Padahal yang datang banci tu orang UMNO. Dia tahu aku taksub pembangkang. Tapi dia ambil nama aku, nombor kad pengenalan aku. Dan nama aku naik sebagai penerima BR1M.

“Ini, Skim KISS…isteri aku mohon pun tak dapat. Isteri aku tak pernah dapat bantuan dari kerajaan BN atau kerajaan negeri. Hanya aku dan anak aku yang dapat BR1M, dah tak lulus untuk Skim KISS.

“Pemimpin kau cakap nak bantu rakyat miskin. Bila rakyat miskin mohon, tak lulus pula. Kenapa nak beza-bezakan mengikut fahaman politik?” soalnya kepada pak aji.

Pak aji kelihatan tenang. Di celah jarinya terkepit sebatang rokok kretek. Kelihatan jari pak aji pula terketar-ketar. Air muka pak aji tiba-tiba berubah. Nampak macam gelisah.

Rakan-rakan lain memberi reaksi macam bersetuju dengan pandangan rakannya itu. Pak aji mula membetulkan kopiah dan kain pelikat diselak naik ke paha. Mungkin panas, walaupun di luar sana dingin.

Aku? aku diam sajalah. Boleh sangat nak menyampuk, sebab aku pun tahu juga sedikit sebanyak pasal Skim KISS ni. Tapi bimbang jugalah, tak pasal-pasal nanti pak aji naik angin, diangkat tangan lempang muka aku, jadi cerita lain pula.

Tapi kesimpulannya, aku dapat rasakan pak aji tak boleh nak jawab persoalan rakannya itu. Sebab dia sendiri pun tahu, Skim KISS yang diuar-uarkan oleh kerajaan PH Selangor hanya sekadar nama. Pelaksanaannya tidak mungkin sama sekali.

Tambahan pula, perancang asal skim ini adalah mantan menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau yang rancang dan beliaulah yang tahu macam mana nak mulakan dari awal hingga akhir skim itu.

Bila yang baru ambil alih, dia tengok Skim KISS yang ditinggalkan Khalid boleh membantu menaikkan namanya dan partinya dan kerajaannya, lalu dia mengumumkan mahu memperkenalkan skim berkenaan.

Padahal apa yang diperolehinya itu hanyalah sehelai kertas yang sudah koyak rabak. Pada kertas itu pula tertera lakaran laluan ke suatu tempat di mana tersimpannya harta karun. Tapi kerana banyak cebisan kertas telah hilang, peta harta karun itu tidak lagi lengkap. – MalaysiaGazette