Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Aini Ideris (empat kiri) menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman bersama Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim (empat kanan) sambil diiringi Pro Canselor UPM, Tan Sri Nayan Ariffin (tiga kiri), Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Anuwar Ali (tiga kanan), Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Profesor Datuk Renuganth Varatharajoo (dua kiri), Penasihat Kewangan Kumpulan Weststar, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin (kiri) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Datuk Mohd Saleh Jaafar (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pemberian Dana Endowmen di UPM, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2018.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima dana endowmen (pemerkasaan) berjumlah RM1 juta bagi menggalakkan pelajar di universiti itu meningkatkan inovasi dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.

Dana pemerkasaan itu diserahkan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.

Menurut Syed Azman, dana ini bagi menjalinkan kerjasama rapat antara UPM dan syarikat penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara dalam bidang aeroangkasa dengan tujuan melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang itu.

“Dana ini adalah untuk sepuluh tahun tapi kalau tidak cukup, UPM boleh mohon lagi peruntukan dana.

“Weststar mahu melihat para graduan dididik dan dilatih dalam bidang penambahbaikan lebih 40 helikopter dalam tahun ini.

“Buat masa ini kita menggaji lima hingga tujuh jurutera bagi setiap pesawat, buat masa ini kita ada 200 jurutera dan ini tidak mencukupi,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pemberian dana endowmen antara Kumpulan Weststar dan UPM.

Hadir menerima dana berkenaan adalah Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris.

Inisiatif rangkaian kerjasama sebegini adalah selaras dengan pelaksanaan model pendekatan ‘Penta Helix’ yang diperkenalkan pada tahun 2018.

Model itu mampu mendorong transformasi pendidikan tinggi ke arah kegemilangan dan kecemerlangan khususnya bagi UPM.

Menurut Dr. Aini, dana ini akan digunakan untuk pelbagai aktiviti terutamanya biasiswa pelajar dalam membuat kajian khususnya berkaitan aeroangkasa.

“Ini akan melonjakkan lagi nama UPM dan kejayaan berkaitan aeroangkasa. Ini adalah satu-satunya program berkaitan aeroangkasa di negara.

“Fokus Penta Helix adalah koloborasi bersama antara industri, masyarakat dan juga individu. Kita kata ia sangat fleksibel kerana manfaat bersama bila pelajar membuat tugasan dalam industri,” katanya dalam sidang media yang sama. – MalaysiaGazette.