Sebahagian perwakilan bersorak ketika Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Azalea 2018: Sahabat Puteri BN di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Puteri Barisan Nasional (BN) atau lebih dikenali sebagai Azalea mempunyai peranan besar untuk memenangkan parti pemerintah itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun sayap parti itu tidak termaktub dalam Perlembagaan BN, namun ia boleh diwujudkan sebagai angkatan baharu untuk membantu jentera parti.

“Walaupun Puteri BN tiada dalam perlembagaan parti, tapi saya sebagai pengerusi BN nak menyatakan bahawa secara de facto kita sudah ada Puteri BN.

“Biarlah gema perhimpunan ini dijadikan satu nafas yang begitu kuat, boleh menjadi pemangkin kepada semangat lambang baharu. Kita nak Puteri UMNO, Puteri BN dan Puteri Rakan BN disegani dan hebat dalam jentera BN.

“Kita hanya ada satu janji saja, hanya satu ikrar saja, supaya setiap sanubari daripada kita yang berkumpul di sini yang mewakili generasi milenia.

“Kita beriltizam untuk bekerja bersungguh-sungguh menjamin kemenangan besar untuk BN,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sahabat Puteri BN atau Azalea 2018 di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Najib juga memberi tiga pesanan akhir kepada Puteri BN yang diwujudkan hari ini untuk mengukuhkan sayap parti itu menjelang PRU14.

Antaranya beliau mengingatkan agar Puteri BN mengamalkan budaya kerja sepasukan untuk memperkukuhkan komponen BN dan tidak sesekali bergerak dalam ‘geng-geng’ tertentu sahaja.

“Kedua, kita mesti berjuang dengan hati dan niat yang ikhlas kepada parti dan negara kita sebab kita nak generasi muda mesti ada idealisme dalam perjuangan, tidak tercemar dengan kepentingan kebendaan ataupun diri.

“Ketiga, berjuanglah dengan penuh keyakinan bahawa kita berjuang untuk membina masa hadapan dan memenuhi harapan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette