Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama perwakilan ketika hadir pada Majlis Pelancaran Azalea 2018: Sahabat Puteri BN di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2018.
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mesti mempunyai kesedaran politik dalam menilai keupayaan sesuatu parti untuk mentadbir masa depan negara yang lebih baik sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan rekod prestasi dan pembangunan negara sejak merdeka hingga kini, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja mampu melakukan perubahan tersebut.

“Pihak yang terbaik untuk masa ini dan masa akan datang negara Malaysia tidak lain, tidak bukan pilihan kita adalah parti BN. Negara ini sedang menjurus kepada masa depan jauh lebih baik, kita mempunyai aspirasi dan impian besar.

“Nilai ringgit kita semakin hari semakin kukuh, sudah bertambah lebih dari 50 sen berbanding dolar Amerika dalam masa hanya setahun saja,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sahabat Puteri BN atau Azalea 2018 di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Puteri UMNO, Datuk Ermieyati Samsudin dan lain-lain pemimpin Puteri parti komponen BN.

Najib selaku presiden UMNO berkata, keupayaan BN terbukti apabila berjaya mewujudkan negara yang aman, stabil dan selamat daripada sebarang ancaman, khususnya rakyat Malaysia.

“Kita boleh menjaga keselamatan negara kita, tiada ancaman yang mendatangkan mudarat kepada rakyat Malaysia.

“Ini kerana usaha kerajaan dan kita juga mempunyai agenda dan kita mampu melaksanakan agenda transformasi negara,” jelasnya.

Katanya, keadaan itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan yang mana gabungan parti pembangkang tersebut belum teruji dalam membina negara.

“Inilah kita beza kita dengan pembangkang, mereka sebenarnya tidak senang hati dan curiga di antara satu sama lain, itulah hakikatnya.

“Oleh itu, kita tidak boleh menaruh harapan kepada mereka (pembangkang) melainkan kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette