Pengerusi SKMM, Tan Sri Halim Shafie pada Majlis Pelancaran Buku Golden 66 dan Penyerahan Buku MCOBA di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan siasatan ke atas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung aduan yang mendakwa beliau menyebarkan kandungan jelik menerusi laman media sosialnya.

Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr. Halim Shafie berkata, pihaknya tidak mempunyai tempoh waktu tertentu untuk menyelesaikan kes Ahli Parlimen Taiping itu.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita tiada tempoh waktu menyelesaikannya. Apa-apa keputusan saya akan maklum menerusi satu kenyataan dalam masa terdekat ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Halim ditemui media pada majlis pelancaran buku Golden 66: Class off  MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) dan penyerahan buku MCOBA (Persatuan) Pelajar Tua Maktab Melayu.

Kelmarin, SKMM menggeledah rumah Kor Ming di Tambun dan rumah keluarganya di Ayer Tawar di Sitiawan, Perak.

Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang mendakwa, SKMM turut menyerbu dan menggeledah pusat khidmatnya di Taiping.

“SKMM dibantu anggota polis menggeledah ketiga-tiga lokasi itu serentak bermula kira-kira jam 3.30 petang sebelum beredar lebih kurang sejam kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Sungai Senam di sini pada Khamis lalu.

Kor Ming berkata, pegawai SKMM turut merampas telefon bimbitnya serta komputer riba daripada rumahnya di Tambun sebelum diminta hadir memberi keterangan di Balai Polis Sungai Senam pada jam 5.30 petang tadi.

Katanya, pegawai SKMM memberitahunya bahawa beliau dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka yang melakukan kesalahan mengikut seksyen itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ditanya apakah kes yang mengakibatkannya disiasat mengikut akta berkenaan, Kor Ming berkata: “Soalan itu lebih baik ditanya kepada SKMM.”

Sementara itu, SKMM dalam kenyataan berkata, operasi serbuan di beberapa lokasi berlainan melibatkan premis Kor Ming berikutan terdapat aduan mendakwa ahli politik itu menyebarkan kandungan jelik menerusi laman media sosialnya.

SKMM berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan operasi tersebut di beberapa lokasi berlainan iaitu Ayer Tawar, Taiping dan Ipoh.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, beberapa peralatan komunikasi telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette