Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Wira Ayub Yaakob bercakap pada sidang media pada majlis penutup Perbincangan Town Hall: Strategi Berkesan Mencegah Jenayah dan Penyalahgunaan Dadah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Sunway University, Subang Jaya, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 20 JANUARI 2018.

SUBANG JAYA – Kadar jenayah dalam negara boleh diturunkan sehingga 40 peratus jika masalah dadah dapat diatasi, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Wira Ayub Yaakob.

Justeru katanya, kerajaan perlu bersedia untuk membelanjakan kos yang besar khususnya dalam aspek penggunaan teknologi canggih khususnya untuk aspek penguatkuasaan.

Jelasnya, pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam perlu dibekalkan dengan peralatan canggih selain dibekalkan dengan ilmu yang cukup.

“Kita boleh turunkan 40 peratus jenayah dalam negara jika masalah dadah diselesaikan.

“Kita harap PDRM, Jabatan Kastam diberikan gajet untuk menangani isu dadah termasuk penyeludupan pemprosesan, maksudnya pembekalan teknologi canggih jika perlu diberikan kursus di peringkat antarabangsa.

“Ia musuh nombor satu negara. Kita juga perlu sanggup membelanjakan kos besar,” katanya dalam ucapan majlis penutupan Perbincangan Town Hall; Strategi berkesan mencegah jenayah dan penyalahgunaan dadah di Universiti Sunway hari ini.

Menerusi perbincangan hari ini, MCPF membuat kesimpulan bahawa penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) memainkan peranan penting dalam usaha membantu siasatan jenayah semasa dalam negara.

Sehubungan itu, agensi tersebut mencadangkan agar polisi penggunaan CCTV perlu diwujudkan bagi memudahkan siasatan jenayah yang dilakukan pihak berkuasa.

“CCTV jalan terbaik mengurangkan kadar jenayah. Setiap individu, sektor swasta, perumahan dan kemudahan awam perlu ada CCTV. Ada pun ianya perlu efektif dan boleh digunakan sentiasa,” katanya yang menganggap rakaman video dari CCTV merupakan salah satu bukti perlakuan jenayah yang paling kukuh.

Antara resolusi lain yang dibuat dalam perbincangan hari ini adalah keutamaan dan perhatian di peringkat sekolah apabila wujudnya kes yang melibatkan pelajar yang bukan sahaja menjadi penagih malah mengedar dadah.

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila gejala dadah ini menjadi pemangkin kepada pencetus jenayah semasa yang lain. -MalaysiaGazette