Alexis Sanchez. Foto Metro.

LONDON – Alexis Sanchez kini menghitung waktu untuk meninggalkan Arsenal selepas urusan perpindahannya ke Manchester United hampir selesai.

Malam tadi, pemain penyerang itu telah mengucap selamat tinggal buat rakan-rakannya biarpun pengurus Arsene Wenger memberi pertimbangan serius untuk memasukkan namanya dalam skuadnya berdepan Crystal Palace.

Sanchez kembali berlatih semalam selepas melalui episod panjang bersama Arsenal mengenai urusan perpindahannya sejak minggu lalu.

Dengan memuktamadkan persetujuan, United akan membayar £35 juta untuk Sanchez, bayaran perpindahan £20 juta kepada Arsenal dan £15 juta kepada ejen pemain Fernando Felicevich.

Sanchez akan dibayar £350,000 seminggu dan tambahan £100,000 seminggu untuk hak imej selama kontrak empat setengah tahun.

Dia juga akan menerima £7.5 juta setahun selama empat tahun sebagai fi menandatangani perjanjian.

Arsenal bersetuju untuk menjual pemain berusia 29 tahun ke United kerana kelab itu mahukan Mkhitaryan, yang pernah dikaitkan dengan The Gunners sebelum dia menyertai United dengan harga £26 juta dari Borussia Dortmund 18 bulan yang lalu.

United turut menilai Mkhitaryan pada harga £35 juta tetapi rundingan pertukaran langsung itu berlanjutan disebabkan kerumitan perjanjian itu.

Mkhitaryan mendapat gaji £140,000 seminggu di United dan ditetapkan kenaikan gaji yang akan menjadikannya pemain dengan bayaran paling tinggi di Arsenal. – MalaysiaGazette