Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Fenomena permintaan durian yang tinggi sejak kebelakangan ini menyebabkan terdapat syarikat swasta yang menawarkan kursus penanaman raja buah itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau difahamkan, bayaran kursus tersebut ada yang mencecah sehingga RM3,000.

Beliau berkata, orang ramai yang memiliki tanah sendiri kini mempunyai pilihan untuk memilih jenis-jenis tanaman yang mendatangkan pulangan tinggi pada masa akan datang.

“Bila cerita durian ini meletup kerana harga Musang King tinggi, permintaan juga tinggi di peringkat global terutamanya dari China.

“Ada isu orang tempatan marah kerana harga durian semakin mahal tapi ia sudah menjadi satu peluang dan kekayaan baru.

“Orang yang ada tanah, antara tinga hingga empat hektar, mereka ada pilihan hendak tanam sawit atau durian. Jadi bila nak tanam durian, ada cara yang betul dari benih, pembajaan dan perairan serta bukannya tanam dan duduk sahaja.

“Jadi kalau nak berjaya kena ikut kursus dan kalau ada syarikat swasta yang menawarkan kursus hingga RM3,000, mereka sanggup pergi kerana bagi pulangan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Seminar Agriculture And Food Security 2050, di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Sebanyak tujuh kertas kerja dibentang meliputi pelbagai tajuk utama industri pertanian dalam seminar sehari itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memotong reben pada majlis perasmian Festival Pengenalan Makanan Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2017

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pengeluaran makanan asas di negara ini seperti padi kekal sebagai keutamaan kerajaan dalam usaha menjamin keselamatan bekalan yang berterusan dan mapan untuk rakyat.

Beliau menjelaskan, kerajaan telah melaksanakan dan merancang untuk tempoh jangka panjang dalam usaha memastikan produk dan bekalan makanan asas itu berupaya menampung keperluan semasa.

Katanya, fokus kementerian terhadap bekalan produk makanan asas sama sekali tidak pernah diabaikan walaupun beberapa  tumpuan turut diberi kepada sumber kekayaan baharu seperti durian dan sarang burung walit yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Sejumlah RM200 juta diperuntukkan tahun ini bagi menggalakan golongan muda menceburi pertanian dan cari cara menjana kekayaan baharu sektor agro makanan seperti jagung bijian, tanaman kelapa, durian, tenusu serta bidang kulinari.

“Namun itu tidak bermakna tumpuan kepada bekalan dan makanan utama diabaikan, buktinya hampir RM3 bilion diperuntukkan bagi memantapkan lagi pengeluaran makanan ruji iaitu beras termasuk menaik taraf infrastruktur pengairan, jalan ladang, bantuan baja, benih serta subsidi dan insentif untuk pesawah,” katanya. – MalaysiaGazette