Datuk Seri Najib Razak akan melawat India dan menyertai sidang kemuncak peringatan ASEAN-India

NEW DELHI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke sini, bermula Khamis ini.

Lawatan atas undangan Perdana Menteri India Narendra Modi itu adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India bersempena sambutan ulang tahun ke-25 hubungan dialog ASEAN-India, yang akan turut dihadiri kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim berkata perdana menteri yang diiring isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Kesihatan dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Di samping meraikan sambutan hubungan dialog ke-25 ASEAN dan India, Sidang Kemuncak ini akan menjadi wadah bagi pemimpin-pemimpin ASEAN dan India untuk bertukar pandangan berkenaan kerjasama ASEAN dan India di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Sidang Kemuncak Peringatan ini juga akan menjadi platform kepada ASEAN dan India untuk merangka hala tuju hubungan kerjasama strategik ASEAN-India,” katanya kepada media Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Ramlan, perdana menteri bakal terikat jadual padat bermula Khamis dimulakan dengan majlis makan tengah hari rasmi dihoskan Modi sebelum menghadiri sesi pemukiman tertutup sidang kemuncak berkenaan yang bertemakan ‘Kerjasama Maritim dan Keselamatan’ diikuti sesi plenoyang membincangkan isu global dan serantau serta hala tuju kerjasama ASEAN-India.

Perdana menteri bersama Modi dan ketua-ketua negara ASEAN turut dijadual merasmikan set Setem Peringatan ASEAN-India yang mengandungi 11 setem (1 setem India dan 1 setem untuk setiap negara anggota ASEAN).

“Bagi Malaysia, setem itu akan menampilkan Gate Torana di Brickfields, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Ramlan, Sidang Kemuncak bertemakan ‘Nilai Bersama, Matlamat Bersama’ penting dalam meningkatkan kerjasama ASEAN dan India dalam pelbagai bidang khususnya dalam usaha memerangi keganasan, kesalinghubungan serantau, perdagangan dan perniagaan.

Kepentingan itu dijangka diperakukan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dan India dalam dokumen bertajuk ‘Deklarasi Delhi’, menurut Ramlan.

Antara isu yang juga dijangka dibincangkan adalah kerajasama ASEAN-India dalam ekonomi biru, usaha-usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua belah dalam pertingkatkan lagi kerjasama ekonomi ASEAn-India.

Ekonomi biru ialah satu pendekatan sistematik yang bertujuan menjaga keseimbangan ekosistem, ekonomi dan sosial.

Selain menghadiri sidang kemuncak itu, perdana menteri bersama-sama ketua negara anggota ASEAN akan menghadiri Hari Republik India ke-69 sebagai tetamu kehormat pada Jumaat (26 Jan).

“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah yang mana kesemua pemimpin-pemimpin negara ASEAN dijemput menghadiri Hari Republik India sebagai tetamu kehormat,” kata Ramlan.

Menurutnya, perdana menteri juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pencapaian kerjasama dua hala sejak lawatan terakhir Najib ke India dari 30 Mac hingga 1 Apr 2017.

“Kerjasama Malaysia dan India telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam pelbagai bidang kerjasama sejak lawatan terakhir perdana menteri terutamanya ekonomi dan perdagangan, perhubungan udara, infrastruktur dan pertahanan,” katanya.

  • BERNAMA