Ahli Panel Universiti Malaya, Tan Sri Kamal Salih bercakap pada Wacana Cendekiawan mengenai Apa Sudah Jadi dan Apa Akan Jadi Dengan Ekonomi Orang Melayu, Dari Dasar Bumiputera ke Transformasi 50 di Bangunan Canselori UKM Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

BANGI – Model Ekonomi Islam (MEI) mampu menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Prof. Adjung Tan Sri Dr. Kamal Salih dari Universiti Malaya berkata, ini kerana ia satu model ekonomi yang terbuka dan berintegrasi serta universal kepada semua kaum.

Beliau menjelaskan, MEI akan melibatkan semua pihak termasuk pemain-pemain baharu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh dan adil.

“MEI lebih terbuka kerana bukan Melayu pun boleh turut serta. Sistem kewangan global pun kini telah kembali kepada sistem kewangan Islam.

“Cuma MEI perlu dimodenisasikan mengikut teknologi menerusi produk dan pemain baharu namun MEI ini akan mengambil masa lama untuk direalisasikan dan saya jangkakan ia boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas sesi pembentangan pada Wacana Dari Dasar Bumiputera Ke Transformasi 50: Apa Sudah Jadi & Apa Akan Jadi Dengan Ekonomi Orang Melayu – Bumiputera? Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau menjadi panel bersama Prof. Madya Dr. Jalaludin Abdul Malek dari UKM dan Dr. Wan Fairuz Chik dari Universiti Malaysia.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, MEI juga merupakan hala tuju ekonomi Melayu dalam dasar Transformasi Nasional 50 (TN50).

Jelasnya, lima komponen MEI yang menyeluruh melibatkan ekonomi tauhid dan pandangan dunia Islam.

“MEI juga universal kerana merangkumi sistem ekonomi dan kewangan Islam yang semakin popular ketika ini. Selain itu, sistem keusahawanan Islam, sistem kredit Islam dan sistem kebajikan Islam melengkapi MEI itu sendiri.

“Secara tidak langsung, bila MEI dilaksanakan dan diperkasakan, hak orang Melayu tetap terpelihara tanpa meminggirkan kaum lain dan terbuka untuk bukan Melayu untuk mengamalkannya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau nak ikut MEI jangan ada gst . nak ikut islam biar 100% jangan islam separuh kafir banyak nya. tipu rasuah ribak dan curi dalam perniagaan .

Comments are closed.