KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Dengan itu, kadar koridor terendah dan tertinggi bagi OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus.

“Dengan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan, MPC mengambil keputusan untuk mengembalikan dasar monetari ke paras yang wajar,” katanya.

Pada masa yang sama, MPC menekankan perlunya tindakan awal diambil untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah wajar untuk membendung peningkatan risiko yang mungkin timbul daripada kadar faedah yang terlalu rendah untuk tempoh masa yang lama.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ekonomi global terus bertambah kukuh dengan pertumbuhan kini lebih mantap dan segerak merentas rantau.

Perdagangan global terus mencatat prestasi pertumbuhan yang kukuh dan lebihan kapasiti pasaran pekerja dalam ekonomi maju yang semakin mengecil manakala sokongan dasar tambahan akan terus mendorong pertumbuhan.

Di Asia, pertumbuhan dipacu oleh aktiviti domestik yang mampan dan permintaan luaran yang kukuh. Pada peringkat global, pasaran kewangan kekal stabil.

Ekonomi global diunjurkan mencatat pertumbuhan yang lebih pantas pada tahun 2018.

Dalam persekitaran ini, risiko kepada prospek pertumbuhan global adalah lebih seimbang, lantas menunjukkan ekonomi global yang terus berkembang pada masa ini.

Bagi ekonomi negara, penunjuk terkini mengesahkan kekukuhan eksport dan aktiviti dalam negeri.

Melangkah ke hadapan, momentum pertumbuhan yang teguh ini dijangka berterusan pada tahun 2018, disokong oleh pertumbuhan global yang lebih mantap dan limpahan positif daripada sektor luaran kepada ekonomi dalam negeri.

Permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan berikutan keadaan pendapatan dan pasaran pekerja yang menggalakkan, prospek aktiviti pelaburan juga positif, hasil dorongan daripada projek infrastruktur baharu dan sedang dalam pelaksanaan dan juga perbelanjaan modal oleh kedua-dua firma berorientasikan eksport dan dalam negeri.

Sektor luaran akan memberikan dorongan tambahan kepada ekonomi, kata BNM.

Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada tahun 2018 dengan inflasi keseluruhan pada purata 3.7 peratus pada tahun 2017.

Purata inflasi diunjurkan lebih rendah pada tahun 2018, berikutan jangkaan kesan daripada faktor kos global semakin berkurang.

Ringgit yang semakin kukuh berbanding tahun 2017 akan mengurangkan kos import.

Harga tenaga dan komoditi dunia dijangka meningkat lebih tinggi pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan bergantung pada harga minyak dunia akan datang, yang masih amat tidak menentu. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga sederhana.

BNM menambah, pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan. Ringgit semakin kukuh, mencerminkan asas-asas ekonomi yang bertambah teguh.

Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi dan institusi kewangan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan menyokong kegiatan ekonomi. – MalaysiaGazette