Hasil kajian, Kelantan mencatat pengguna tertinggi yang membeli coconut shake yang dicampur ais krim di Malaysia.

KOTA BHARU – Dalam usaha membantu peniaga kecil, penyanyi dan cef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob menjelajah ke Kelantan bertujuan mencari tiga lokasi minuman coconut shake terbaik di negeri tersebut.

Menurut Fazley, 39, idea untuk mengadakan jelajah itu tercetus memandangkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu mencatatkan pengguna tertinggi yang membeli minuman air kelapa dicampur ais krim di Malaysia.

Program dengan kerjasama peneraju minuman terkenal, Fraser and Neave Holding Sdn Bhd (F&N) yang bermula semalam selama sehari itu menyaksikan Fazley turut memberi penghargaan berupa plak khas kepada para peniaga terpilih dalam memberi nilai tambah penjenaman dan promosi kepada peniaga terbaik.

“Hasil kajian saya, masyarakat di Kelantan paling ramai membeli ais krim ini. Jadi, faktor utama itu yang membuatkan saya mendapat idea untuk mengadakan jelajah coconut shake terbaik di negeri ini.

“Dalam waktu sama, saya dapat memberi peluang kepada para peniaga selain menggalakan lebih banyak usahawan kecil yang menceburi perniagaan seumpama ini.

“Apa yang mengagumkan, semua peniaga cocnut shake ini bermula dengan gerai yang kecil sebelum menjadi besar dan membuka beberapa cawangan lain,” katanya kepada MalaysiaGazette yang mengikuti  rombongan jelajah tersebut di sini hari ini.

Datuk Fazley Yaakob menjelajah ke Kelantan bertujuan mencari empat lokasi minuman Coconut Shake terbaik di negeri tersebut.

Fazley yang juga merupakan jurucakap salah satu produk F&N, King’s Ice Cream sejak empat tahun lalu berkata, lokasi yang dipilih berdasarkan cadangan daripada orang ramai yang berkongsi mengenai lokasi-lokasi tersebut menerusi platform media sosial F&N juga di akaun media sosial miliknya sejak bulan lalu.

Sebanyak empat lokasi terpilih iaitu Warung Resepi Marliza yang terletak di Wakaf Che Yeh, Abe Manja Coconut Shake (Pasir Mas) dan Restoran Aisyah (Tumpat).

Tidak ketinggalan, bapa kepada empat cahaya mata itu yang kini terlibat sebagai perancang strategik untuk King’s Ice Cream akan meneruskan jelajah ini di negeri lain antaranya Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

“Saya gembira kerana melaksanakan jelajah ini dan apa yang di rancang berjalan dengan lancar. Selain itu saya turut berterima kasih kepada Malindo Air dan Hotel Perdana yang menaja penerbangan serta penginapan sepanjang jelajah ini,” katanya.

Fazley menjadi duta kepada peneraju minuman terkenal, Fraser and Neave Holding Sdn Bhd (F&N).

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Jenama F&N, Carren Khor berkata, pihaknya tertarik untuk mengetengahkan minuman coconut shake itu kerana ia semakin digemari masyarakat yang bertemakan citarasa Malaysia.

“Sejak kebelakangan ini ramai suka minuman ini, jadi kami mendapat idea untuk mencari lokasi coconut shake yang paling menjadi tarikan dan terbaik di seluruh Malaysia.

“Kami mulakan jelajah di sini dan akan diteruskan di negeri lain selepas ini. Daripada semua lokasi yang dikunjungi itu nanti, kami akan memilih tiga gerai paling terbaik antara semua,” katanya. – MalaysaGazette