Othman Aziz

KUALA LUMPUR- Malaysia telah menandatangani Konvension Multilateral bagi Pelaksanaan Perjanjian Cukai berkaitan Langkah-Langkah Menghalang Hakisan Asas dan Pengubahahan Keuntungan (MLIBEPS) sebagai tanda komited terhadap memenuhi piawaian percukaian antarabangsa.

Selain Malaysia, China, Indonesia, Australia, India, Singapura dan Jepun juga telah mengambil langkah pro-aktif untuk melaksanakan amalan terbaik percukaian di bawah piawaian antarabangsa, termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan BEPS.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, perjanjian ini penting kepada Malaysia kerana ia mempunyai 73 Perjanjian Pengelakkan Pencukaian Dua Kali (Double Taxation Avoidance Agreement) yang sedang berkuatkuasa bersama-sama negara penjanji.

Pelaksanaan inisiatif itu katanya, amat perlu bagi menutup jurang yang membenarkan keuntungan perniagaaan untuk dipindahkan secara artificial kepada negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah atau tiada cukai.

“Menerusi kemajuan aktiviti perniagaan global dan urus niaga rentas sempadan yang meluas, adalah sangat penting bagi memastikan keuntungan daripada aktiviti ekonomi adalah berdasarkan sumbangan substantif di mana aktiviti perniagaan dijalankan.

“Selaku Ahli Bersekutu BEPS, Malaysia perlu memenuhi komitmen ini untuk terus kompetitif dalam menarik dan menggalakkan pelaburan termasuk pelaburan langsung asing untuk kemampanan jangka panjang dan terus meningkatkan model pembangunan ekonomi secara inklusif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MLIBEPS itu adalah inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).-MalaysiaGazette