Felda akan mengambil semula tanahnya di Jalan Semarak.

KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Felda untuk berunding dengan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (Synergy Promenade) mengenai penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan demi kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.

Agensi itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu susulan daripada perjanjian persefahaman yang ditandatangani  antara Felda dan Synergy Promenade pada 15 Januari lalu.

“Pada 15 Januari 2018, pihak pemaju iaitu Synergy Promenade telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semua ke atas nama Felda,” katanya.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan Ahli Lembaga Felda yang mewakili Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail dan turut dianggotai oleh Ahli Lembaga Felda yang mewakili Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Pengarah Besar Felda, Datuk Ab. Ghani Mohd, Ali serta wakil Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Felda juga, katanya akan memohon kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM di dalam jawatankuasa tersebut.

Isu di antara Felda dan Synergy Promenade timbul apabila Synergy Promenade sebagai pemaju utama diberi hak kuasa penuh ke atas tanah yang dicadangkan untuk pembangunan Kuala Lumpur Vertical City.

Synergy Promenade kemudiannya bertindak menukar nama tanah-tanah tersebut sehingga menyebabkan sebanyak 16 lot bernilai RM270 juta di Jalan Semarak itu nyaris terlepas dari tangan Felda.

Selepas pelbagai usaha dijalankan, Synergy Promenade akhirnya bersetuju memulangkan semula tanah tersebut kepada Felda tanpa sebarang kos.-MalaysiaGazette