Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima buku Pelan Tindakan Cetakan Briu (Blueprint) dari Presiden Malaysia Associated Indian Chamber of Commerce (MAICCI), Tan Sri K. Kenneth Eswaran sambil disaksikan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir (tengah) pada Majlis Makan Malam Future Begins Tonight di Seri Perdana, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Syarikat tempatan perlu memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai antara 25 negara pengeksport terkemuka dunia dengan berusaha gigih dan meninjau pasaran baharu, mempelbagaikan produk serta mewujudkan pekerjaan untuk golongan muda, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu Perdana Menteri menggesa semua dewan-dewan perniagaan negara ini untuk menggembleng tenaga sebagai satu pasukan yang kuat bagi memanfaatkan kemampuan serta peluang berkenaan.

“Seiring dengan perkembangan yang menyaksikan pusat ekonomi dunia kini beralih ke timur, adalah jelas kepada semua bahawa sudah tiba masanya untuk (kebangkitan) Asia pada abad ke-21 ini.

“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan peluang yang ada pada masa ini. Kita tidak boleh lagi hanya berdiam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bertemakan ‘Masa Depan Bermula Malam Ini’ anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri J. Jayasiri, Presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap dan Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Datuk CM Viknaesvaran Jeyandran.- BERNAMA