KUALA LUMPUR – Kempen undi rosak yang giat diadakan dalam media sosial oleh sesetengah pihak adalah melanggar undang-undang dan pesalah mungkin berdepan hukuman penjara.

Selain melanggar Akta Pilihan Raya, tindakan itu turut dilihat sebagai bersalah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Akta Hasutan.

Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, sebarang kempen, ceramah dan kenyataan yang menggalakkan orang tidak mengundi atau membuang undi rosak adalah melanggar undang-undang.

Beliau berkata, sesiapapun tidak boleh merosakkan kertas undi, tetapi setiap orang perlu mengundi berdasarkan peraturan yang ada.

Abdul Halim bagaimanapun memahami kesilapan yang tidak disengajakan oleh pengundi sehingga membawa kepada undi rosak.

“Sekiranya pihak berkaitan mengalakkan orang membuang undi rosak atau menyebarkan mesej tidak betul dalam Internet, mereka mungkin telah melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada Sinchew Daily.

Ulasan itu dibuat selepas berlaku perdebatan berhubung pembuangan undi rosak dalam kalangan pengundi Cina khususnya.

Selain dibincangkan secara meluas dalam Internet, isu undi rosak malahan mencuri perhatian para pengarang dan pengulas akhbar Cina yang turut melontarkan pendapat mereka.

Seorang penggerak kempen undi rosak dalam Internet memberitahu Sinchew Daily, undi rosak merupakan pilihan bekas penyokong pembangkang yang kecewa atas kegagalan parti berkenaan mempamerkan prestasi memuaskan selepas memenangi Pulau Pinang dan Selangor pada Pilihan Raya 2008 dan 2013. – MalaysiaGazette