Temubual bersama pekerja logistik, Norhayati Odin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 3 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Bukan mudah bagi kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘menjaga’ ibu kota yang sejak dahulu tidak pernah lekang dengan masalah akibat bilangan penduduk yang padat.

Kepadatan penduduk di Kuala Lumpur (KL) banyak menimbulkan masalah dan selain pembangunan infrastrukturt masalah utamanya adalah mentaliti.

Pada 1 Februari lepas, Hari Wilayah Persekutuan melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan baru sahaja disambut bagi tahun ini namun beberapa insiden yang berlaku mencalarkan imej ibu kota baru-baru ini.

Insiden baling kerusi sehingga menyebabkan seorang remaja lelaki maut baru-baru di rumah flat Pantai Dalam cukup menimbulkan kemarahan rakyat.

Jelas masih ada ‘mentaliti setinggan’ dalam penempatan penduduk di Kuala Lumpur.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati,  rata-rata warga kota masih ramai yang tidak berpuashati dengan isu-isu yang sama seperti sampah, kesesakan jalan raya, pengangkutan dan kemudahan awam.

Bagaimanapun mereka tidak menafikan DBKL juga banyak melaksanakan inisiatif serta projek demi keselesaan rakyat namun ada segelintir warga kota tidak menghargainya malah menuding jari menyalahkan kerajaan.

Seorang pekerja swasta, Norhayati Odin, 42, tidak sesekali menyalahkan kerajaan yang mengambil inisiatif menyediakan rumah mampu milik sebaliknya masyarakat setempat yang mempunyai kurang kesedaran sivik antara punca mengapa masalah lama masih berleluasa.

“Kerajaan ambil inisiatif sediakan rumah mampu milik kerana tidak semua mampu memilik rumah besar dan mahal apatah lagi di KL tetapi apabila diberikan rumah, kawasan persekitarannya tidak pula terjaga.

“Keadaan di kawasan rumah kos rendah terutamanya pangsapuri bukan sahaja kotor dan terdapat banyak kemudahan yang rosak serta tidak mesra Orang Kurang Upaya tetapi terdapat bau yang kurang menyenangkan terutama ketika menaiki tangga.

“Saya rasa pihak berwajib perlu mengenakan undang-undang ketat, mungkin seperti tinggal di kondominium. Kita bayar kos penyelengaraan mahal tetapi pelbagai jenis peraturan dikenakan, dan kita rasa selamat.

“Jika anda boleh beli kereta lebih daripada seorang isi rumah di PPR, boleh beli gajet mahal-mahal, mengapa tidak berbelanja lebih sedikit untuk kes penyelengaraan?” soalnya.

Bagi pemandu trak Tenaga Nasional Berhad, Azwan Shafiq, 23, pula, selain daripada masalah di kawasan perumahan bertingkat – antara masalah utama warga KL adalah kesesakan lalu lintas sampai tengah malam.

Azwan Shafiq Amir

“Tengah malam pun kadang-kadang sesak kerana ada pihak yang membaiki jalan dan sebagainya. Ini kerana terlalu ramai memiliki kereta dengan bilangan yang banyak sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan teruk.

“Banyak masa terbuang di atas jalan raya sahaja. Saya berasal dari Melaka, di sana tidak banyak masalah seperti ini. Bayangkan hari-hari hadap jalan raya sesak.

“Ini juga antara punca mengapa rata-rata kita mempunyai masalah psikologi kerana emosi terganggu. Mungkin kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk tangani permasalahan ini,” katanya.

Seorang pelajar kolej swasta, M. Mathew, 21, masalah utama penduduk di flat adalah mereka ada mentaliti tidak ambil kisah dan mementingkan diri.

M.Mathew 

“Semua pihak termasuk kerajaan dan penduduk perlu memainkan peranan, bukannya menyalahkan sebelah pihak sahaja. Sekiranya DBKL mahu pasang kamera litar tertutup (CCTV) mungkin ada pula kes penghuni curi dan jual.

“Kalau boleh pihak berkuasa ambil tindakan tegas. Kalau pihak berkuasa lebih serius dalam peruntukan undang-undang maka kes seperti ini akan berkurangan,” tegasnya.

Dalam pada itu, bekas tentera, Azhar Ahmad, 50, berkata, masalah parkir dan kerosakan jalan raya juga tidak pernah selesai di ibu kota selain masalah sampah.

 Azhar Ahmad

“Pihak berkuasa seperti DBKL telah lakukan yang terbaik tetapi kita mohon perbanyakkan lagi inisiatif untuk kita selesai isu seperti ini. Bukan kita suka kena saman atau kena tunda.

“Kita juga gembira dengan inisiatif DBKL yang sediakan laluan basikal walaupun makan kos jutaan ringgit dan akhirnya terpaksa dibuat semula. Mungkin kos itu boleh digunakan untuk perkara lain,” kata Azhar.

Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Mahdi Mohaeree, 25, pula mendakwa ramai warga kota orang terpelajar namun ‘kecerdikan’ mereka cuma di atas kertas ijazah sahaja kerana masih ramai tidak ada kesedaran sivik.

Muhammad Mahdi Mahaeree

“Ramai sudah kekurangan semangat sivik dan moral. Emosi mengatasi segala-galanya. Sifat kemanusian semakin berkurangan sehingga sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan, dengan pantas perilaku itu menjadi viral.

“Orang buat baik sudah jadi viral kerana jarang sekali orang buat baik, segala kemudahan dirosakkan, sampah sarap dibuang merata, malas turun bawah, sampah dan harta benda lain di buang dari atas tingkap sahaja.

“Tidak guna jika kerajaan sahaja melakukan pelbagai inisiatif tetapi kita sebagai rakyat bukan sahaja tidak menghargainya tetapi ambil mudah dan perlekehkan setiap perkara. Kita jadi manusia yang sentiasa menuding jari kepada orang walaupun kesalahan itu dilakukan oleh kita sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette