KUALA LUMPUR- Malaysia menjadikan acara aeroangkasa dan pertahanan terbesar di Asia, Pameran Udara Singapura 2018 sebagai platform untuk menarik pelaburan-pelaburan berkualiti serta membina kerjasama strategik dengan pemain-pemain industri global.

Dengan kehadiran lebih 50 delegasi, Malaysia melihat acara tersebut adalah penting untuk mempromosikan keupayaan negara di dalam menyediakan infrastruktur dan ekosistem aeroangkasa bertaraf dunia kepada pemain global.

Kementerian Perdagangan Antarabangs dan Industri berkata, beberapa memorandum perjanjian (MoA) akan dimeterai di Pavilion Malaysia melibatkan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) dan Axis- REIT yang memfokuskan pembinaan kemudahan pengilangan industri untuk Senior Aerospace UPECA di Aerotech Park, Subang, MAHB dengan syarikat Denmark yang mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun menyelenggara pesawat ATR, Skyways Technics.

MoA ini akan memberi fokus kepada kerjasama menyediakan pelan peluasan Skyways Technics di dalam ekosistem aeroangkasa Malaysia Airports di Aerotech Park, Subang.

MAHB juga akan memeterai MoA dengan Persatuan Perniagaan Penerbangan Asia (AsBAA) untuk menyokong kedudukan Subang sebagai Hab Perniagaan Penerbangan Serantau di bawah Eksesais Regenerasi Subang.

Timbalan Ketua Setiausaha MITI (Industri), Datin K. Talagavathi berkata, kementerian dan agensi berkaitan seperti MIDA, Matrade dan SME Corporation Malaysia akan terus membantu melaksanakan semua projek yang akan menarik lebih banyak pelaburan aeroangkasa, mempercepatkan eksport produk dan perkhidmatan aeroangkasa, meningkatkan rangkaian bekalan tempatan serta pembangunan bakat.

“Kehadiran Malaysia di dalam acara-acara aeroangkasa antarabangsa semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

“Peningkatan permintaan untuk Malaysia menyertai pertumbuhan pasaran global telah mempercepatkan pembangunan keupayaan kita untuk kekal kompetitif di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pavilion Malaysia diketuai oleh Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) dan MITI. – MalaysiaGazette