Model-model keluaran Perodua foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Berdasarkan  anggaran dalaman, Perodua menjangkakan jualan sebanyak 17,693 unit bagi bulan Januari 2018 adalah jumlah tertinggi yang direkodkan dari segi bulanan.

Jumlah yang mewakili lebih 40 peratus penguasaan pasaran itu juga mengatasi jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 43,930 unit.

Pada bulan tersebut, kesemua model Perodua kekal menerajui pasaran Malaysia menerusi segmen masing-masing dengan Myvi merekodkan 9,029 unit jualan, Axia (4,985 unit), Bezza (2,776 unit) dan Alza (1,803 unit).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, rekod positif itu dipacu terutamanya oleh penghantaran Myvi baharu di samping permintaan tinggi yang berterusan daripada model-model lain.

“Myvi baharu mencatatkan 48,000 tempahan setakat hari ini dan hampir 20,000 unit telah diserahkan kepada pembeli serakat ini.

“Secara keseluruhan, lebih sejuta Myvi telah didaftarkan di Malaysia sejak 2005,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Aminar, prestasi tersebut telah merangsang ekosistem automotif nasional kerana permintaan lebih jangkaan terhadap model-model ini menyebabkan pasaran alat ganti turut mengalami pertumbuhan positif.- MalaysiaGazette