Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR-Prestasi ekonomi negara berpadanan dengan peluang pekerjaan dalam pasaran buruh yang mana setakat tahun 2010 sehingga 2016 sebanyak 2.26 juta pekerjaan telah dicipta.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, daripada jumlah tersebut 679,3000 adalah pekerjaan berkemahiran tinggi.

Jelasnya, peluang pekerjaan sejak 2010 adalah luas namun sangat kukuh di dalam sektor perkhidmatan yang mana telah membuka 1.78 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh tersebut.

Ini katanya sejajar dengan prestasi ekonomi yang menyaksikan sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar atau kira-kira 54 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Prestasi positif ini didorong oleh kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010.

“Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti dan belia.

“Sejak 2011 kerajaan telah memperkenalkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang telah membantu 130,000 graduan universiti meningkatkan kebolehpasaran mereka di dalam pasaran pekerjaan.

“Hasilnya, lebih 90 peratus pelatih SL1M telah mendapat pekerjaan saa ada dengan syarikat di mana mereka menjadi pelatih atau syarikat lain,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahman, Barisan Nasional akan terus menyediakan penyelesaian masalah serta melihat kepada semua aspek bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat pekerjaan.

“Pada masa yang sama, kami mahu memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia,” katanya lagi.

Jelasnya, terdapat pelbagai geran, dana penyelidikan dan pengkomersialan serta dana pelaburan permulaan disediakan kepada perniagaan-perniagaan baharu.

Malah terdapat pelbagai dana khusus kepada golongan belia Malaysia untuk memulakan perniagaan sendiri antaranya Dana Usahawan Muda menerusi SME Bank yang mana menawarkan kadar faedah rendah bagi pembiayaan sehingga RM100,000 manakala Dana Usahawan Siswazah pula adalah sejenis skim pinjaman mudah kepada para graduan.-MalaysiaGazette