KUALA LUMPUR- Inisiatif dagangan Malaysia-Singapore Connect dijangka mampu menggalakkan lagi pertumbuhan produk-produk kewangan baharu dan diversifikasi.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata, kumpulan perbankan itu telah bersedia untuk memudahcara penyertaan di dalam syarikat-syarikat senaraian awam kedua-dua bursa berkenaan.

“CIMB teruja dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semasa Simposium Pasaran Kewangan Dunia 2018 pagi tadi.

“Malaysia-Singapore Connect bukan sahaja akan menarik lebih ramai pelabur baharu untuk melabur di dalam 1600 syarikat senaraian awam Bursa Malaysia dan Bursa Singapura malah turut menggalakkan penghasilan produk-produk kewangan baharu dan pelbagai.

“Ditambah dengan inisatif-inisiatif lain seperti pengecualian cukai kepada saham-saham syarikat bersaiz sederhana dan kecil, pengecualian yuran dagangan dan selesai transaksi selama enam bulan kepada pelabur baharu, liberalisasi peraturan margin pembiayaan telah menyediakan satu pentas yang lebih menarik kepada pasaran dagangan saham.

“ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat pelbagai saiz untuk bersaing,” katanya dalam satu kenyataan sebagai maklum balas kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif tersebut telah lama diidamkan namun struktur kosnya yang sangat tinggi telah menghalang kedua-dua negara untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun selepas kedua-dua perdana menteri mengadakan perbincangan mendalam, mereka menemui kaedah yang lebih sesuai, cekap dan menjimatkan para pelabur.

“Saya rasa mengapa pada masa lalu kita tidak melaksanakannya adalah disebabkan oleh struktur kos yang sangat tinggi.

“Mereka cuba melaksanakannya ke atas kedua-dua bursa dan apabila ada kaedah menggunakan kos yang lebih rendah, mereka terus bersetuju,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kerugiaan yang bakal ditanggung kerajaan selepas menghapuskan duti setem kepada dagangan saham syarikat bersaiz sederhana dan kecil, Johari berkata beliau masih belum mendapat jumlah sebenar.

Namun begitu beliau amat mengalu-alukan langkah yang diumumkan perdana menteri itu kerana menurutnya, apa yang penting ketika ini adalah menyediakan sebuah pasaran saham yang lebih menarik.

“Ketika ini duti setem adalah sekitar 20 hingga 30 peratus daripada kos transaksi.

“Jadi jika kerajaan mengecualikan duti setem, kita akan kehilangan pendapatan daripada jumlah tersebut tetapi ia bukan perkara besar kerana saham-saham syarikat bersaiz sederhana dan kecil ini tidak mempunyai banyak volum.

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk mencipta volum kepada segmen tersebut dan menjadikannya lebih menarik kerana pelabur telah dapat mengurangkan kos transaksi sebanyak 20 hingga 30 peratus.

“Selama ini tidak banyak aktiviti dijalankan dalam segmen tersebut,”jelasnya lagi.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk menyemarakkan lagi pasaran saham tempatan termasuk membenarkan semua pelabur melakukan jualan singkat intra-day dan meliberalisasikan margin pembiayaan.-MalaysiaGazette