Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh (kiri) dan Pengerusi Institute for Capital Market Research (ICMR), Prof. Datuk Dr. Hassan Said (kanan) melihat tayangan video selepas merasmikan Institute for Capital Market Research (ICMR) sempena Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2018 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR- Beberapa langkah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bagi merangsang aktiviti perdagangan saham di Bursa Malaysia.

Ini penting katanya bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelabur ke dalam pasaran modal tempatan.

Antara langkah tersebut adalah pengecualian setem duti ke atas syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan kecil yang didagangkan di Bursa Malaysia berkuatkuasa Mac ini.

Selain itu, kesemua pelabur turut dibenarkan untuk melakukan dagangan singkat intra-day selain meliberalisasikan peraturan-peraturan bagi margin pembiayaan.

Jelas Najib, langkah tersebut adalah untuk menjadikan pasaran modal Malaysia lebih menarik.

“Dalam Bajet 2017, kami memasukkan beberapa langkah untuk meningkatkan kemeriahan segmen syarikat bersaiz sederhana dan kecil di dalam pasaran saham tempatan.

“Kita mempunyai lebih daripada 350 syarikat bersaiz sederhana dan kecil dengan jumlah keseluruhan pasaran sebanyak RM217 bilion yang merangkumi lebih satu pertiga daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan mendalam dengan Suruhanjaya Sekuriti, saya gembira apabila dapat mengumumkan langkah-langkah yang bakal merangsang kemeriahan pasaran,” katanya semasa menyampaikan ucaptana Simposium Pasaran Modal Dunia di sini hari ini.

Najib turut mengumumkan pengenalan kategori baharu pedagang yang akan berdagang menggunakan akaun mereka sendiri dikenali sebagai ‘pakar perdagangan’.

Selain itu program berinsentifkan volum juga akan diperkenalkan oleh Bursa Malaysia untuk menjadi pemangkin aktiviti dagangan.

Pelabur-pelabur baharu juga akan diberikan pengecualian daripada yuran dagangan dan yuran selepas selesai transaksi (clearing fee) selama enam bulan bagi menggalakkan lebih banyak pelabur menyertai pasaran saham.-MalaysiaGazette