KUALA LUMPUR- Jumlah eksport meningkat hampir 19 peratus kepada RM935.4 bilion pada 2017, pertumbuhan paling kukuh sejak 2005 dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi-komoditi utama.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, import berkembang sebanyak 20 peratus kepada RM838.14 bilion didorong oleh import barangan pertengahan dan modal.

“Lebihan dagangan melebar sebanyak 10 peratus kepada RM97.25 bilion, lebihan tertinggi sejak 2012.

“Ini merupakan 20 tahun berturut-turut Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sejak 1998,” kata kementerian itu.

Eksport kepada China melonjak 28 peratus kepada RM126.15 bilion manakala import meningkat sebanyak 15.5 peratus kepada RM164.5 bilion.

Peningkatan import direkodkan pada produk-produk E&E, produk petroleum, produk getah, gas asli cecair (LNG), kimia dan produk kimia, peralatan optikal dan saintifik, besi dan gas asli.

Dengan ini, China kekal sebagai sumber terbesar import Malaysia dengan mewakili 19.6 peratus daripada keseluruhan import pada 2017.

Ia mencatatkan pertumbuhan dua digit setiap bulan sepanjang tahun kecuali pada Jun dan Disember.-MalaysiaGazette