Setiausaha Parti Rakyat Malaysia, Jenice Lee ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette pada Program Ramah Mesra & Sumbangan Buah Limau Mandarin sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pagi, Taman Muda, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya disifatkan sebagai satu strategi yang teruk dilakukan oleh pembangkang.

Malah, di seluruh dunia rakyat mahukan calon dalam kalangan orang muda untuk memimpin mereka seperti yang berlaku di New Zealand dan Perancis, kata Setiausaha Parti Rakyat Malaysia (PRM) Selangor, Janice Lee.

“Mana ada negara yang mencalonkan seorang yang telah berusia lebih 90 tahun sebagai perdana menteri.

“Lagipun dia pernah jadi perdana menteri dan dalam tempoh 20 tahun memegang jawatan itu banyak isu tidak diselesaikan termasuk beberapa polisi turut tidak terlaksana.

“Sekarang ini dia (Dr Mahathir) nak perbetulkan. Tak mungkinlah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Janice, keputusan Pakatan Harapan itu jelas menunjukkan bahawa parti itu terdesak dalam membuat percaturan bagi jawatan perdana menteri kerana mereka seharusnya menonjolkan individu yang lebih kreatif dan dinamik sebagai calon untuk menambat hati pengundi mereka.

“Kalau datuk nenek kita yang sudah berusia 80 tahun dan biasa makan menggunakan tangan, bagaimana kita mahu menganjar mereka untuk menggunakan chopstick dalam usia seperti itu,” sindirnya.

Janice menambah, sikap Dr Mahathir yang dikenali mengamalkan korupsi dan prinsip diktator ketika di zaman pemerintahannya seperti disifatkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang jelas menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu tidak sesuai untuk menyandang kembali jawatan tersebut.

“Kenapa kita di Malaysia nak letakkan Dr Mahathir yang sudah berumur sebagai calon perdana menteri.

“Mereka (Pakatan Harapan) mengangkat kembali Dr Mahathir ini sebagai perdana menteri seolah-olah tidak ada apa yang boleh diharap,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast