Home Utama KWSP agih 6.90% dividen Simpanan Konvensional, 6.40% Syariah

KWSP agih 6.90% dividen Simpanan Konvensional, 6.40% Syariah

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah.

Agihan itu melibatkan dividen sebanyak RM44.15 bilion untuk Simpanan Konvensional dan dan RM3.98 bilion bagi Simpanan Syariah menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sebanyak RM48.13 bilion, naik 29.8 peratus berbanding tahun 2016.

Pengerusi Tan Sri Samsudin Osman berkata, KWSP gembira dengan prestasi
keseluruhan pada 2017 yang juga merupakan tahun yang penting bagi KWSP memandangkan ia menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.

“Simpanan Syariah telah menunjukkan prestasi kukuh untuk pengisytiharan dividen yang pertama, membuktikan prestasi aset Syariah KWSP mapan, seterusnya memberi
berita baik kepada ahli kami yang telah bertukar kepada Simpanan Shariah.

“Untuk Simpanan Konvensional, kadar 6.90 peratus merupakan kadar tertinggi pernah diumumkan sejak 1997,” katanya dalam kenyataannya.

Pengagihan dividen bagi setiap akaun diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Simpanan Shariah hanya memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya daripada aset
Syariah manakala bagi Simpanan Konvensional, sebanyak 38 peratus pendapatan diperolehi daripada aset Syariah dan 62 peratus daripada aset bukan Syariah.

Pendapatan pelaburan kasar untuk 2017 adalah RM53.14 bilion, jumlah tertinggi sejak
penubuhan KWSP pada 1951.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.60 bilion disumbangkan kepada Simpanan Syariah, mengikut bahagiannya daripada jumlah keseluruhan aset Syariah, manakala RM48.54 bilion kepada Simpanan Konvensional.

Pulangan bagi Simpanan Konvensional ditingkatkan oleh pendapatan yang diperolehi daripada pelaburan bukan Syariah berikutan peningkatan prestasi saham perbankan sedunia manakala Simpanan Syariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ianya tidak patuh Syariah.

Rosot nilai ekuiti daripada saham patuh Syariah, terutamanya daripada sektor minyak dan gas dan telekomunikasi, telah menurunkan pendapatan portfolio Syariah KWSP.

“Sememangnya akan terdapat perbezaan pulangan Simpanan Shariah berbanding Simpanan Konvensional dalam jangka pendek, bagaimanapun dalam jangka masa panjang, prestasi kedua-dua skim ini dijangka tidak akan jauh berbeza memandangkan kedua-duanya mempunyai objektif dan strategi pelaburan yang sama.

“Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, objektif kami adalah untuk melindungi dan
menambah nilai simpanan persaraan ahli kami dan ini boleh dinilai dari kadar dividen yang diisytiharkan berbanding kadar inflasi Malaysia,” tambahnya.

Untuk 2017, kadar dividen yang diisytiharkan untuk Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional masing-masing adalah 2.61 peratus dan 3.11 peratus melebihi kadar inflasi sebanyak 3.79 peratus.

Sepanjang tiga tahun lepas, KWSP mengisytiharkan kadar dividen melebihi sasaran dua peratus dividen sebenar masing-masing sebanyak 3.51 peratus dan 3.67 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

Menyentuh tentang jumlah pengagihan dividen 2017 sebanyak RM48.13 bilion, Samsudin berkata, jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen
adalah RM7.02 bilion, selaras dengan pertumbuhan tahunan baki simpanan ahli sebanyak
10.98 peratus sejak 1990.

Setakat 31 Disember 2017, jumlah simpanan ahli adalah RM768.51 bilion, yang mana RM67.76 bilion adalah di bawah Simpanan Syariah dan RM700.75 bilion di bawah Simpanan Konvensional.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk 2017 sebanyak RM53.14 billion, naik 14.13 peratus dari RM46.56 bilion pada 2016, meningkat sebanyak 11.90 peratus setahun
sejak 2007 dan bersamaan dengan 7.30 peratus pulangan atas pelaburan (ROI).

Agihan dividen itu akan dikreditkan pada hari esok dan ahli boleh mendapat maklumat terkini melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau aplikasi mudah alih i-Akaun. Aplikasi i-Akaun ini boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store.

Ahli yang ingin menukar ke Simpanan Syariah 2019 boleh mendaftar sebelum 24 Disember 2018. – MalaysiaGazette