Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penutup Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF-9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR- Malaysia tidak akan mengabaikan pembangunan luar bandar terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial walaupun keutamaan ketika ini diberikan di dalam menangani pelbagai isu urban serta perubahan iklim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bandar dan luar bandar pada hari ini sudah semakin saling berkait yang mana kawasan kampung kini telah menjadi pilihan untuk beristirehat dan beriadah.

Ini katanya, menjadi petunjuk kepada peningkatan urbanisasi telah menjurus kepada tingginya penghargaan terhadap kawasan-kawasan hijau yang terletak jauh daripada bandar.

“Malaysia tidak akan mengabaikan kawasan-kawasan luar bandar walaupun fokus kini adalah mengenai bandaraya-bandaraya dan isu-isu urban.

“Malaysia akan memastikan dasar-dasar kebangsaan yang melibatkan perancangan bandar dan wilayah dapat membantu meningkatkan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi dan dalam masa yang sama melindungi alam semulajadi dan penggunaan tanah pertanian,” katanya semasa menutup Forum Urban Dunia ke-9 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Katanya, Malaysia mempunyai perancangan ekonomi dan pembangunan fizikal kebangsaan serta rangka kerja pembangunan bandar yang menyokong kelestarian pembangunan, pertumbuhan dan pengurusan bandar-bandar besar di negara ini.

Bagi melaksanakan strategi dan program tersebut, kerajaan katanya, mengukuhkan peranan kerajaan tempatan sebagai jentera kerajaan peringkat ketiga supaya mereka lebih inovatif, berkesan dan mampu mengadakan kerjasama dengan masyarakat, sektor swasta dan organisasi daripada lain-lain negara.

Tambahnya, kerajaan akan memastikan suara-suara rakyat didengar di samping menjalinkan pelbagai kerjasama di dalam memastikan tindakan-tindakan efektif dapat dilaksanakan dan menghasilkan keputusan yang membawa kebaikan kepada rakyat.-MalaysiaGazette