Home Utama KWSP: Penggunaan ‘cladding’ langgar undang-undang – Lee Lam Thye

KWSP: Penggunaan ‘cladding’ langgar undang-undang – Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kebakaran yang berlaku di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang lagi, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, menerusi punca kebakaran yang dilaporkan iaitu daripada penggunaan lapisan pelindung yang mudah terbakar salah pada aspek perundangan.

“Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid dilaporkan berkata punca kebakaran adalah percikan api yang terkena ‘cladding’ atau lapisan pelindung yang mudah terbakar.

“Penggunaan ‘cladding’ mudah terbakar itu adalah menyalahi undang-undang dan siasatan menyeluruh perlu dibuat mengapa tiada tindakan diambil walaupun insiden sama pernah berlaku di dalam dan luar negara sebelum ini.

“Pihak berkuasa dan pihak berkepentingan perlu mengambil kebakaran di bangunan KWSP ini sebagai pengajaran dan mengambil langkah proaktif untuk mencegah berlakunya tragedi serupa di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Insiden kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya kira-kira 12 tengahari tadi perlu disiasat dengan rapi kerana maklumat awal mendedahkan ia melibatkan penggunaan bahan binaan yang melanggar undang-undang.

Tambah beliau, bukan bangunan KWSP malah lebih 47 lagi bangunan dan 40 pangsapuri dan kondominium yang juga berpotensi tinggi dijilat api kerana struktur bangunan yang disifatkannya sebagai tidak selamat.

Sehubungan itu, Lee menyeru agar pihak yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk bangunan untuk mengutamakan aspek keselamatan.

“Di Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 47 bangunan kediaman tinggi di seluruh negara, termasuk 40 pangsapuri dan kondominium di Lembah Klang, berisiko tinggi kebakaran.

“Mereka yang terlibat mereka bentuk dan membina struktur bangunan pula perlu menjadikan pencegahan kebakaran sebagai pertimbangan utama mengenai keselamatan bangunan.

“Pihak berkuasa juga perlu mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan JBPM berkaitan panel komposit aluminium berkualiti rendah dan mudah terbakar yang digunakan oleh ramai kontraktor di seluruh negara,” kata beliau.

Jabatan Bomba juga tambahnya lagi perlu memeriksa semua bangunan dalam negara agar sentiasa dalam keadaan selamat.-MalaysiaGazette