Home Utama SPRM sahkan pemain badminton bukan dari BAM

SPRM sahkan pemain badminton bukan dari BAM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebaliknya Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini.
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pemain badminton yang kini disiasat oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bukan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, walaupun pemain badminton itu dari Malaysia, namun individu terbabit adalah pemain persendirian.

“Setakat yang kami ada, dia bukan pemain dari BAM. Dia adalah pemain persendirian dari Malaysia tapi bukan pemain badminton BAM.

“Namun maklumat yang kami terima masih pra-matang, bagaimana pun kami akan melihat kes ini kerana ia melibatkan salah laku rasuah,” katanya pada sidang media selepas Program Gerah dan Pelancaran Kempen Gempur Bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Sukan badminton negara digemparkan dengan dakwaan seorang pemain profesional sedang disiasat oleh BWF kerana disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Menurut laporan laporan media tempatan, BWF sudah menggantung sementara pemain berusia lingkungan 20-an terbabit bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

Mengulas lanjut, Azam juga berkata, identiti pemain profesional itu tidak boleh didedahkan kepada umum sambil menyifatkan kes salah laku rasuah melibatkan sukan itu jarang berlaku di negara ini.

“Nama tak boleh dedah. Sudah tentu kita akan melihat kes ini kerana ia melibatkan rasuah.

“Tapi kita tengok dulu setakat mana pembiayaan yang dibuat oleh pihak BAM (kalau ada), kes bukan satu perkara yang biasa berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette