KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memohon kerjasama orang ramai supaya menggunakan air dengan cara berhemat berikutan kebimbangan penyusutan paras kolam-kolam perkhidmatan akibat permintaan yang tinggi.

Menurut kenyataan Syabas, ini berikutan hasil pemantauan mereka sejak dua minggu lepas ke atas sistem bekalan air terdapat penyusutan.

Ia telah menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang terjejas dengan gangguan bekalan sementara dan tekanan rendah

“Pemantauan berterusan dan tindakan yang perlu sedang diambil bagi mengurangkan impak besar kepada pengguna.

“Namun pada masa yang sama kita juga mohon kerjasama daripada semua pelanggan agar menggunakan air secara berhemat,” kata kenyataan itu.

Antara kawasan-kawasan yang terlibat adalah Seksyen 16 hingga 20, Seksyen 23 hingga 25 di Shah Alam dan Kampung Jawa, Padang Jawa, Taman Alam Shah, Kg Teluk Menegun, Sg Rasah, Bukit Kuda, Jalan Mohd Sidin di Klang. – MalaysiaGazette