LANGKAWI – Usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan melintasi ‘angkasa’ apabila satu daripada dialog dalam siri televisyen sains fiksyen terbitan Amerika Syarikat, Star Trek: Discovery menyebut nama Langkawi.

Nama Kapten Philippa Georgiou tiba-tiba menjadi sebutan di Langkawi, bukan sahaja sebagai pelaut terkenal yang baru membuat pendaratan tetapi dalam siri televisyen tersebut, beliau menyatakan beliau berasal dari pulau itu.

Georgiou sebenarnya ialah watak yang dilakonkan oleh pelakon superstar Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh dalam siri televisyen itu dan apabila dia menyebut Langkawi dalam salah satu adegan, ia membangkitkan kegembiraan di kalangan penduduk Langkawi dan klip videonya telah tular di media sosial.

“Dialog yang menyebut nama Langkawi, walaupun sekejap adalah promosi yang baik dan menarik lebih minat untuk datang ke pulau itu,” kata Setiausaha Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi (USAHABUMI), Ahmad Phisol Ishak.

“Ia benar-benar sangat baik untuk usaha mempromosi Langkawi dan dihargai supaya lebih ramai pelancong akan datang,” kata beliau.- BERNAMA