SHAH ALAM – Jenazah pelakon era 80-an yang popular menerusi filem ‘Ali Setan’, Mohd Azmil Mustapha Kamil, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira 6.30 petang.

Mohd Azmil, 65, meninggal dunia kerana sakit jantung di kediamannya di Seksyen 9 di sini, kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk dikafan dan disolatkan.

Selain anggota keluarga, turut kelihatan hadir pada pengebumian itu adalah rakan-rakan artis seperti Fauziah Ahmad Daud, Datuk Nasharuddin Elias (Nash), Datuk DJ Dave dan Datuk Rahim Razali.

Allahyarham yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen daripada Indiana University, Bloomington, Amerika Syarikat, merupakan bapa tunggal kepada lima cahaya mata berusia antara 17 hingga 34 tahun, iaitu Nur Shamira, Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman.



Selain filem Ali Setan 1 dan 2, filem lain yang turut menaikkan nama Mohd Azmil di persada hiburan tanah air ialah Mekanik, Suara Kekasih dan Driving School.

Selepas bertahun-tahun terlibat secara aktif dalam dunia hiburan, Mohd Azmil akhirnya membuat keputusan untuk bersara dan memberi tumpuan kepada aktiviti keagamaan sebagai pendakwah

Allahyarham pernah berhijrah ke Syria pada 2006 bersama empat anaknya sebelum kembali ke Malaysia ekoran peperangan yang tercetus di negara itu.

Beliau juga pernah mengarah dua filem dokumentari berjudul ‘Deen in Dublin’ Part One dan ‘Deen in Dublin’ Part Two yang ditayang di seluruh Britain pada Disember 2012.

Ketika ditemui pemberita, Nur Syamira, 33, berkata keadaan bapanya biasa saja sebelum meninggal dunia, malah aktiviti hariannya pun berjalan macam biasa.

Kata Nur Syamira, adik lelakinya juga sempat bertanyakan kepada Mohd Azmil hidangan makan tengah hari yang mahu dibeli seperti kebiasaan menyebabkan mereka tidak menyangka, itu merupakan perbualan terakhir dengan bapanya.

“Adik lelaki saya ada tanya ayah mahu makan apa sebab dia nak pergi beli makanan, tapi lepas mandi, adik tengok ayah tertidur. Dia kejutkan tapi ayah sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Seksyen 9 di sini, hari ini.

Sementara itu, adik bongsu pelakon berkenaan, Muhammad Azif Mustafa Kamil, 50, memberitahu abang sulungnya pernah menjalani rawatan pintasan jantung pada 2016 dan pernah terkena serangan jantung sebanyak dua kali tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, sakit yang dialami abangnya itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan aktiviti dakwah yang dilakukannya sejak sekian lama malah kehidupannya juga sentiasa ceria walau kesihatannya tidak mencapai tahap 100 peratus.

“Dalam waktu terdekat ini pun arwah abang ada dijemput untuk memberi ceramah agama namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,” katanya.- BERNAMA

Azmil Mustapha meninggal dunia dalam tidur