Home Ekonomi Keupayaan bayar balik hutang isi rumah kukuh

Keupayaan bayar balik hutang isi rumah kukuh

Kebanyakan rakyat Malaysia berhutang untuk membeli kediaman. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hutang isi rumah meningkat pada kadar tahunan 4.9 peratus pada suku keempat 2017 dengan sebahagian besar hutang adalah untuk pengumpulan kekayaan.

Pinjaman untuk pembelian harta kediaman terus menjadi pemacu pertumbuhan yang utama, menurut Bank Negara Malaysia (BNM)

Meskipun begitu, keupayaan keseluruhan isi rumah untuk membayar balik hutang dijangka kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan pendapatan berterusan dan keadaan pasaran pekerja yang stabil.
Agregat aset kewangan isi rumah dan aset kewangan mudah cair kekal tinggi, masing-masing pada 2.1 dan 1.5 kali hutang.

Selain itu, pertumbuhan aset kewangan isi rumah (+8.1%) terus mengatasi hutang (+4.9%).

BNM berkata, pada akhir suku tersebut, jumlah hutang isi rumah mencakupi 84.3% (S3 2017: 84.6%) daripada KDNK.

Agregat nisbah jejas nilai dan nisbah delinkuensi bank dan bukan bank masing-masing kekal pada 1.6% dan 1.4%.

Berdasarkan perbincangan dan interaksi dengan bank, peminjam yang mudah terjejas (individu dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan) dan tinggal di kawasan bandar terus mengalami kesukaran membayar balik hutang lantaran kos hidup yang tinggi.

Walau bagaimanapun, risiko terhadap kestabilan kewangan daripada sektor isi rumah berdasarkan penilaian yang dibuat akan terus menurun.

Sebahagian besar peminjam baharu isi rumah terus mempunyai nisbah khidmat hutang (DSR) yang berhemat, iaitu di bawah 60% manakala 41% daripada peminjam mempunyai DSR di bawah 40%.

Peratusan jumlah peminjaman bagi peminjam yang mudah terjejas juga terus berkurang untuk mencakupi 20.6% (2016: 21.9%) daripada jumlah hutang isi rumah memandangkan penilaian kemampuan pinjaman terus bertambah baik. – MalaysiaGazette