Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Tindakan boleh diambil terhadap individu yang sering mendatangkan kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee ekoran tindakannya menerbitkan sebuah klip video bertemakan anjing sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Youtube.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, meskipun lelaki itu pernah melarikan diri setiap kali melakukan kontroversi namun dia tidak mungkin akan terlepas pada masa akan datang.

“Individu ini (Namewee) telah melarikan diri beberapa kali sebelum ini. Saya hanya ingin mengatakan bahawa suatu hari, tindakan akan diambil terhadapnya. Tidak bermakna bahawa jika mereka telah melarikan diri sebelum ini, mereka akan terlepas masa depan.

“Jangan salahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan diambil terhadapnya.

“Orang itu telah terlepas dalam banyak tindakan, dan kita harap jangan mana-mana pihak membuat provokasi, ini bukan amaran, saya hanya hendak beritahu tindakan pasti akan diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Pengerusi Aktivis Media Sosial, Kamarudin Ahmad apabila meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat video klip penyanyi kontroversi Namewee yang dikatakan mengandungi aksi lucah tarian sekumpulan penyanyi berdekatan Masjid Putrajaya.

Menurut Kamaruddin adegan dalam video yang menampilkan Namewee dan beberapa penari bertopengkan anjing itu dianggap provokatif kerana ia difilemkan di sekitar Masjid Putra.

Tema anjing dipercayai digunakan dalam video itu sebagai simbolik terhadap kepercayaan masyarakat Cina sempena perayaan tahun baru yang bakal disambut esok.

“Negara kita menekankan keharmonian. Kami menghormati perbezaan kepercayaan setiap rakyat Malaysia. Jika individu itu memilih untuk membuat provokatif, maka dia tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa apabila tindakan diambil terhadapnya, ” tegasnya.

Terdahulu Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menyampaikan pemadam kebakaran kepada 612 institusi tahfiz di negara ini.

Acara itu diadakan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pasukan petugas khas kerajaan di sekolah agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.