Home Politik Ahli Pas: RCI perlu siasat tragedi Memali

Ahli Pas: RCI perlu siasat tragedi Memali

KUALA LUMPUR – Ahli Pas Kubang Semang, Bukit Mertajam hari ini mengadakan himpunan aman di masjid Seberang Jaya bagi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali.

Lebih 20 ahli parti itu dalam masa yang sama juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci kekayaan luar biasa keluarga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jurucakapnya, Rashid Rashidi berkata, pihaknya mahu waris mangsa Memali menerima pembelaan sewajarnya dalam tragedi yang mengorbankan 14 individu lebih 30 tahun dulu itu.

“Kami mahu siasatan terperinci dijalankan dalam insiden Memali dan orang ramai, terutama waris mangsa mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.

“Apa yang lebih malang, ada segelintir bekas pemimpin PAS yang dahulunya memperjuangkan isu Memali, namun kini mereka tergamak menafikannya,” katanya kepada pemberita.

Katanya lagi, pihaknya juga hairan apabila semua ahli keluarga  Mahathir mampu menjadi jutawan dan mengumpul kekayaan dalam tempoh yang singkat.

“Apa yang menghairankan, sebelum menjadi perdana menteri,  Mahathir hanya seorang doktor manakala bapanya seorang guru.

“Namun selepas menjadi perdana menteri ketika itu, keluarga termasuk anak-anaknya semua bergelar jutawan,” katanya.-MalaysiaGazette