Home Ekonomi Kawalan ketat bagi pengambilan pekerja bank

Kawalan ketat bagi pengambilan pekerja bank

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua institusi kewangan perlu melakukan kawalan ketat dalam pengambilan pekerja kerana integriti adalah penting dalam meningkatkan keyakinan dalam sistem kewangan.

“Ini untuk memastikan industri kewangan mempunyai tenaga kerja yang kompeten dan profesional,” kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, dalam penyediaan latihan dan pembangunan komprehensif perbankan, institusi seperti Institut Perbankan Berkanun Asia (AICB), Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Pusat Tadbir Urus dan Kepimpinan Iclif berperanan penting dalam memperkukuhkan bakat.

Sebagai contoh, kelayakan ahli perbankan bertauliah bertujuan menyediakan pendidikan komprehensif mengenai perbankan untuk meningkatkan profesionalisme bagi menyokong dalam membuat keputusan dalam industri, katanya.

Bermula Januari 2017, semua graduan baru yang masuk dalam industri perbankan dikehendaki menjadi ahli AICB dan melengkapkan program mandatori mengenai standard etika dan profesional.

Sejak April 2017, tenaga kerja industri kewangan yang beroperasi dalam pasaran kewangan borong juga dikehendaki mematuhi kelayakan kemasukan profesional yang tinggi, kelakuan pasaran dan kawalan dalaman yang digariskan dalam Kod Tatacara untuk Pasaran Kewangan Borong Malaysia.

Kod tatacara ini digariskan secara ketat dan dikuatkuasakan bersama oleh Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia, institusi kewangan dan pengawal selia, katanya.

BNM telah mempertahankan integriti dalam sistem kewangan, dari semasa ke semasa dan melakukan pelbagai usaha ke arah ini. – MalaysiaGazette