Home Ekonomi Pertumbuhan ekonomi negara libatkan seluruh sektor – BNM

Pertumbuhan ekonomi negara libatkan seluruh sektor – BNM

KUALA LUMPUR – Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menggariskan trend yang menunjukkan ekonomi Malaysia semakin baik, dengan pertumbuhan lebih luas di seluruh sektor dan memaparkan trajektori kukuh.

“Dahulu sektor yang mengalami momentum kukuh adalah yang terlibat dalam pembuatan berorientasikan eksport. Peluang dari trend itu kini menjadi lebih mantap di sektor lain,” kata Bank Negara Malaysia.

Ekonomi negara berkembang 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding 4.2 peratus dan 5 peratus pada tahun 2016 dan 2015.

BNM berkata, data menunjukkan peningkatan pendapatan dan pekerjaan merentasi ekonomi yang lebih meluas.

“Sektor komoditi juga bertambah baik, memberi manfaat kepada pendapatan luar bandar. Ringgit terus mengukuh, mencerminkan peningkatan dalam ekonomi,” kata Bank Pusat itu.

BNM berkata, ekonomi global menunjukkan pertumbuhan serentak di seluruh rantau.

Penunjuk pelbagai, seperti pengeluaran, penggunaan, penghantaran dan harga komoditi bertambah baik, menunjukkan pertumbuhan global yang mapan pada tahun ini.

Dana Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan bagi Pembangunan Ekonomi juga menyemak semula pertumbuhan global lebih tinggi pada tahun ini.

Dana Monetari Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan telah merevisi ramalan pertumbuhan global ke atas untuk tahun ini.

“Menjadi ekonomi terbuka dan dengan pemacu pertumbuhan domestik mengukuh, Malaysia berada pada tahap yang baik,” kata BNM.

Mengenai pengwujudan pekerjaan, kekosongan dan pemberhentian kerja dalam industri kewangan Malaysia, BNM berkata, jumlah pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kewangan kekal kukuh dengan sejumlah 164,885 orang kakitangan pada akhir suku keempat tahun lalu.

Peluang pekerjaan tetap cukup, dengan jawatan baru dicipta dan banyak kekosongan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

Lebih banyak program latihan yang memberi tumpuan kepada kepakaran bagi mengisi permintaan yang diperlukan dalam pengetahuan dan pekerjaan intensif teknologi perlu dilakukan untuk mengisi jurang.

“Pemberhentian kekal rendah dengan jumlah 775 orang pada suku tahun ini dan dengan kombinasi pekerjaan baru sebanyak 1,170 jawatan – dan stok kekosongan sedia ada yang tinggi pada 5,609 jawatanm” kata BNM. – MalaysiaGazette