WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menggesa Malaysia menawarkan perlindungan sementara kepada 11 etnik Uighur beragama Islam yang mana China mahu mereka diekstradisikan ke negara itu.

Jabatan Negara AS berkata, ia telah meminta Malaysia membenarkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengakses etnik Uighur itu – antara sekumpulan 20 orang yang melarikan diri dari Thailand tahun lalu – untuk menentukan kelayakan mereka mendapatkan perlindungan antarabansga disusuli penempatan semula di negara ketiga.

“Kami menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyediakan perlindungan sementara kepada individu ini yang mungkin menjadi bahan seksaan atau penindasan jika dipulangkan,” kata jurucakap Jabatan Negara Biro Asia Timur, Michael Cavey.

Pada minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, Malaysia telah menerima permintaan rasmi China untuk mengekstradisikan 11 etnik Uighur itu.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia sedang menimbang permintaan tersebut dan polis sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dalam aktiviti keganasan.

Pemerhati hak asasi manusia meminta Malaysia memastikan etnik Uighur tidak dipaksa diusir ketika mereka berdepan dengan ‘ancaman penjara dan seksaan’.

Beijing mendakwa puak pemisah ektremis yang mana etnik Uighur merupakan sebahagian daripada mereka merancang serangan terhadap majoriti Han di wilayah Xinjiang dan bahagian lain di China.

China didakwa menyalahguna kuasa di Xinjiang, mendera tahanan Uighur dan mengenakan sekatan ketat terhadap agama dan budaya mereka. China menafikan tuduhan tersebut.

Sejak sekian lama, beratus-ratus malah mungkin beribu-ribu etnik Uighur menyelamatkan diri daripada ditahan dengan melarikan diri ke Turki menerusi Asia Tenggara.

Seramai 20 etnik Uighur meloloskan diri daripada lokap di sempadan Thailand-Malaysia pada November lalu dengan menggali lubang di dinding dan menggunakan selimut sebagai tangga. Lima orang daripada mereka ditangkap di Thailand pada bulan lalu.

Mereka yang melepaskan diri merupakan sebahagian daripada kumpulan besar lebih 200 orang yang ditahan di Thailand pada 2014.

Ahli kumpulan itu mengenalkan diri mereka sebagai warga Turki dan meminta dihantar ke Turki namun lebih 100 orang dipulangkan secara paksa ke China pada Julai 2015, tindakan yang mencetuskan kutukan antarabangsa. – Reuters