Najib Razak

LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di pulau ini.

Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang- Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta).

“Hospital Langkawi buat masa ini hanya dapat menampung 110 katil pesakit manakala kadar penggunaan katil hampir mencecah 90 peratus. Oleh itu, projek bangunan tambahan Hospital Langkawi telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga RMK-11, ” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa berucap merasmikan ‘Program I Am Usahawan GO 4.0´ iaitu program kesedaran keusahawanan Revolusi Industri 4.0 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini.

Beliau berkata, bangunan tambahan Hospital Langkawi antara lain akan dilengkapi 220 katil, wad unit rawatan rapi dan wad koronari selain menambah bilangan perkhidmatan dan 10 bidang kepakaran yang sedia ada. – Bernama