Seorang lelaki berswafoto dengan dekorasi Tahun Anjing sempena Sambutan Tahun Baru Cina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tokong Dong Zen Jenjarom, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 FEBRUARI 2018

PETALING JAYA – Seramai 4,000 pemandu pelancong yang bertutur dalam bahasa Cina tidak bercuti pada musim perayaan Tahun Baharu Cina berikutan kemasukan pelancong yang ramai.

Presiden Malaysia Inbound China Association (MICA), Datuk Dr. Angie Ng berkata, kerahan pemandu pelancong termasuk mereka yang sudah bersara dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan pemandu pelancong yang berlaku setiap tahun.

Angie berkata, koordinasi yang dilakukan antara persatuan-persatuan pelancongan pada tahun ini adalah sangat memuaskan dengan satu matlamat iaitu memastikan pemandu pelancongan mencukupi.

“Kami juga berjaya membawa masuk pemandu pelancong yang hanya mempunyai kelapangan hanya sehari dua,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Tahun Baharu Cina yang merupakan cuti panjang di China mendorong ramai penduduknya melancong ke luar negara termasuk Malaysia.

Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Siew Ka Wei menjangkakan kemasukan pelancong China pada musim perayaan Tahun Baharu Cina akan mencecah 200,000 orang berbanding 180,000 pada musim sama tahun lalu.

Angie berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menyambut ketibaan pelancong China termasuk menyediakan kaunter perkhidmatan yang mempunyai petugas dengan kemahiran bertutur Mandarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Senai.

Mengenai kemunculan pemandu pelancong dari China yang mencari rezeki secara tidak sah di negara ini, Angie berkata, keadaan itu didorong oleh permintaan yang tinggi.

“Mereka perlu mengikuti kursus dan mematuhi syarat untuk menjadi pemandu pelancong di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette