Pengundi Parlimen Sungai Besar, Omar Hasbullah ketika ditemui MalaysiaGazette di Pekan Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

SUNGAI BESAR – Pengalaman bergelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang pernah disandang menjadi kelebihan dan dikagumi rakyat lebih-lebih lagi sedia bertanding di kerusi P093 Parlimen Sungai Besar, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tinjauan MalaysiaGazette di Parlimen Sungai Besar baru-baru ini mendapati rata-rata rakyat yang ditemui terutamanya pengundi dalam kalangan warga emas tidak meragui keupayaan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai pemimpin rakyat.

Meskipun kredibiliti bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tercalar gara-gara fitnah pemimpin pembangkang berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) pada 2006, namun kepercayaan rakyat terhadap beliau kini semakin pulih.

Menurut pengundi ‘otai’ Parlimen Sungai Besar, Omar Hasbullah, 62, dengan kelebihan yang dimiliki Shahrizat sebagai pemimpin utama sayap UMNO, dia mempunyai keyakinan tinggi untuk melihat kawasan luar bandar itu dilimpahi dengan pembangunan pesat bagi menjana ekonomi setempat.

“Kalau Tan Sri Shahrizat ada rezeki dan menang besar di sini, sudah pasti perubahan akan berlaku dengan peningkatan pembangunan dan adanya usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi penduduk di Parlimen Sungai Besar.

“Dengan pengalamannya sebagai seorang menteri dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, sudah pasti pucuk pimpinan UMNO melihat calon ini boleh membantu Sungai Besar untuk terus membangun dan berjaya.

“Sudah pasti saya sedia menjadi jentera untuk beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, baru-baru ini.

Pengundi Parlimen Sungai Besar, Masruddin Ahmad ketika ditemui MalaysiaGazette di Pekan Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Bagi Masruddin Ahmad, 60, menyifatkan kesediaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi laluan kepada Shahrizat menjadi calon Barisan Nasional (BN) sebagai satu rahmat kepada rakyat di situ.

“Tan Sri Shahrizat mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik, lebih-lebih lagi ketika bergelar Menteri Kabinet di mana banyak inisiatif diperkenalkan beliau untuk membantu rakyat.

“Saya yakin rakyat dan pengundi di sini bakal mendapat nikmat pembangunan pesat apabila beliau menang besar dan tidak mustahil beliau dilantik semula menjadi menteri penuh sekali lagi.

“Saya mempunyai keyakinan beliau mempunyai visi dan misi yang amat jelas selaras dengan aspirasi dan pimpinan yang lebih atas daripada beliau,” katanya.

Pengundi Parlimen Sungai Besar, Kamaruddin Tahir ketika ditemui MalaysiaGazette di Pekan Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, Kamaruddin Tahir, 65, pula berkata, dia tidak menolak calon luar, lebih-lebih lagi pemimpin tertinggi UMNO yang akan diletakkan di kawasan luar bandar itu yang terkenal dengan pengeluaran padi dan hasil laut.

“Kalau beliau menang di Parlimen Sungai Besar, sudah tentu boleh menjadi menteri penuh, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kawasan ini dengan pesat.

“Kalau ada pemimpin baharu di Sungai Besar, dan boleh menjana peluang ekonomi baharu kepada rakyat, saya sokong dan mengalu-alukan kedatangan beliau di sini,” ujarnya.

Pengundi Parlimen Sungai Besar, Misroh Yaakob ketika ditemui MalaysiaGazette di Pekan Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Seorang lagi pengundi ‘otai’, Misroh Yaakob, 68 berkata, tiada halangan bagi Shahrizat bertanding di kawasan itu memandangkan beliau telah menunjukkan perkhidmatan terbaik sebagai bekas menteri dan Ketua Wanita UMNO.

“Rasanya kita tiada halangan untuk memberikan sokongan yang sewajarnya. Saya yakin dengan kebolehan dan keterampilannya, beliau mampu mendapat sokongan padu pada PRU14 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette