KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan tinggi berbanding dolar AS minggu depan, susulan pemulihan harga komoditi, ditengah-tengah kelemahan dolar.

Ketua Pedagang OANDA Corp Asia Pasifik, Stephen Innes berkata, dolar yang lemah secara amnya menyokong pemintaan ke atas ringgit dan harga minyak yang lebih tinggi akan terus menyokong ringgit.

Harga minyak mentah mengukuh susulan cadangan oleh Menteri Tenaga, Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid A Al-Falih supaya pengurangan pengeluaran semasa oleh OPEC diteruskan.

“Saya jangkakan dolar AS akan susut lagi minggu depan ketika pasaran secara beransur-ansur memberi tumpuan kepada defisit perbelanjaan (perdagangan dan belanjawan) AS, yang merupakan negatif besar ke atas dolar AS dalam persekitaran inflasi.

“Jadi, saya menjangkakan ringgit akan didagangkan antara 3.87 dan 3.91 berbanding dolar AS minggu depan dengan kecenderungan yang lebih tinggi berdasarkan prospek dolar AS yang negatif,” katanya kepada Bernama.

Dolar AS susut berbanding sekumpulan mata wang pada Jumaat dalam aktiviti jualan berterusan walaupun data inflasi yang lebih tinggi berbanding jangkaan selain unjuran peningkatan kadar faedah.

Sementara itu, Niaga Hadapan Minyak Mentah Sweet West Texas Intermediate naik 0.68% kepada AS$ 61.01 setong.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baru China.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup pada 3.8910/8980 berbanding dolar daripada 3.9370/9410 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9659/9724 daripada 2.9604/9643 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding yen kepada 3.6559/6635 daripada 3.6096/6143 minggu lepas.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding euro kepada 4.8583/8678 daripada 4.8279/8344 sebelumnya namun mengukuh berbanding pound British kepada 5.4704/4818 daripada 5.4795/4859 minggu lepas. – Bernama