Muhammad Affan bersama laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Ampang hari ini.MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau bagi seorang jurufoto portal MalaysiaGazette apabila menjadi mangsa samun semasa pulang daripada tugasan hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2.30 petang di Lembah Silikon, Serdang dekat sini.

Mangsa, Muhammad Affan Fauzi, 21, berkata, semasa kejadian dia dalam perjalanan dari Sepang menuju ke Ampang dengan menaiki motosikal milik bapanya Yamaha jenis Y15 berwarna biru perak.

Affan memberitahu, sebelum itu dia membuat liputan satu tugasan di Sungai Pelek, Sepang dan dalam perjalanan pulang iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian motosikalnya kehabisan petrol.

“Tiba-tiba datang seorang pemuda tidak dikenali menaiki motosikal berjenama Yamaha biru putih jenis LC 135cc bernombor pendaftaran BKB 2123.menawarkan diri kononnya dia sedia membantu menunda motosikal saya.

“Apabila tiba di Lebuh Silikon Serdang, suspek yang kelihatan berusia 30-an telah menghentikan motosikalnya dan tiba-tiba mengacukan parang kepada saya.

“Suspek berseluar jean, berkemeja T berkolar berwarna merah dan jaket tertera nama Maybank mengarahkan saya menyerahkan semua barang-barang berharga.

“Akibat takut akan dicederakan suspek bersenjatakan parang itu, saya telah menyerahkan segala barang berharga,” katanya.

Barangan yang disamun set body kamera SLR Nikon D800, lens telefoto dan lens standard kamera, speedlite milik majikan, telefon bimbit Huawei Nouva 2 Plus, serta beg mengandungi komputer riba jenama Lenovo, serta dompet yang mengandungi kad debit Maybank, BSN dan Affin Bank, lesen memandu dan cukai jalan.

Dia yang mengalami kerugian lebih RM25,000 membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Ampang. – MalaysiaGazette