Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam (tengah) bercakap kepada media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – MIC berharap tidak berlaku perubahan drastik atau perubahan terakhir terhadap senarai terakhir calon-calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang sudah diserahkan kepada Perdana Menteri pada dua minggu lepas.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, senarai itu adalah muktamad kerana calon yang bertanding telah diteliti, ditapis dan diputuskan oleh parti mengikut kelayakan masing-masing sebelum dikemukakan kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Saya telah menyiapkan senarai terakhir calon bertanding MIC kepada PM dua minggu lepas dan 60 peratus calon muda yang penuh bertenaga dan berdaya pimpinan disenaraikan parti dalam PRU kali ini.

“Kami mengharapkan ia adalah muktamad tanpa sebarang perubahan minit terakhir lagi dalam senarai nama calon itu dan yakin PM dapat memuktamadkannya,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC hari ini.

Sementara itu, mengenai spekulasi calon Parlimen Genting Highlands, Subramaniam tetap berkeras ia masih kerusi milik MIC.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat memberitahu, kerusi itu milik mutlak MIC memandangkan ia masih merupakan kerusi tradisi partinya selama tiga penggal.

“Saya boleh mengesahkan tidak akan ada perubahan dalam kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang akan ditandingi MIC dan tidak akan ada sebarang perbincangan mengenainya.

“Pendirian kami mengenai status Cameron Highlands ialah sangat jelas iaitu ia muktamd milik kami dan anda (wartawan) tidak perlu memberi perhatian kepada sebarang berita palsu yang dicetuskan mengenainya,” ujarnya.

 

Sementara menunggu pengumuman calon muktamad PRU-14 oleh Perdana Menteri, Subramaniam berkata, pihaknya berjaya mendekati dan membanci kira-kira 425,000 orang dalam kalangan masyarakat India di seluruh negara sebagai persiapan pilihan raya.

“Jumlah berkenaan mewakili 40 peratus orang India dan ia tidak termasuk pemutihan pengundi manakala 60 peratus lagi belum dibanci.

“Usaha gigih ini dilaksanakan untuk memastikan sokongan pengundi India secara keseluruhan dipertingkatkan sehingga mencapai satu peratusan yang baik yang ditetapkan parti iaitu sekurang-kurangnya 65 peratus bersama BN,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Subramaniam menasihatkan semua ahli dan pemimpin yang dilantik sebagai penyelaras, pengerusi jentera kempen di sesebuah kawasan terus berusaha mendapatkan sokongan padu pengundi India di kawasan masing-masing.

“Satu perkara yang saya telah tegaskan semasa lawatan baru-baru ini ialah wujudkan kerjasama rapat untuk memenangkan siapa jua calon yang ditentukan parti dan BN yang bertanding pada PRU nanti.

“Kita tidak boleh hadapi situasi yang mana puak tertentu tidak bekerjasama di sesebuah tempat dan ia bolehb melemahkan usaha parti dan akan menjejaskan kemenangan jika dibiarkan berterusan.

“Kita perlu menerima hakikat walaupun seseorang pemimpin itu diminati masyarakat setempat, mereka perlu menerima hakikat dan menyokong calon yang ditentukan pemimpin parti di peringkat tertinggi,” jelasnya.

Subramaniam turut mengesahkan parti telah menggantung Ketua Bahagian MIC Parlimen Merbok, Ariman Arumugam kerana dipercayai mencetuskan masalah di DUN Bukit Selambau namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Dalam masa yang sama Subramaniam juga yakin gerakan kempen undi rosak oleh puak tertentu di luar sana tidak akan memberi kesan kepada keputusan BN atau MIC dalam PRU-14.

Menyifatkan tindakan kempen itu sebagai pergerakan anti demokrasi, ia tidak seharusnya dipedulikan oleh rakyat kerana mengundi merupakan hak untuk menentukan kerajaan memerintah dan sebarang tindakan mengeksploitasi hak itu akan mencetuskan kacau bilau dalam negara, katanya. – MalaysiaGazette