NILAI, 19 Feb (Bernama) — Pelumba berbasikal trek paralimpik negara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Noraidillina Adilla J. Sam berada dalam kelas tersendiri apabila menyapu bersih pingat emas dalam kesemua acara disertai mereka pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2018.

Nur Azlia mengekalkan rentak kemenangan dengan mencatat masa terpantas, satu minit 15.177 saat dalam acara 500 meter Ujian Masa Individu B Wanita di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Beliau menewaskan rakan sepasukan, Nur Syahida Tajudin-Nurul Suhada Zainal yang meraih pingat perak dengan masa 1:19.024 saat manakala pingat gangsa menjadi milik Emily Lee-Sarah Tan dari Singapura yang melakukan catatan 1:22.317 saat.

“Alhamdulillah syukur, kami menang semua acara disertai. Kami juga memecah rekod peribadi. Tetapi kami tidak boleh berasa selesa kerana kami perlukan kejohanan yang lebih kompetitif. Sasaran kami adalah Kejohanan Dunia di Brazil, dan berharap dengan kejayaan ini kami dapat beraksi di sana.

“Tahun ini, kami juga menyasarkan pingat di Sukan Para Asia di Indonesia. Saya berharap juru pandu saya dikekalkan,” kata Nur Azlia.-BERNAMA