KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sememangnya seorang kaki taichi apabila tidak menjawab isu pokok berhubung ‘bailout’ membayar pampasan kepada dua syarikat dalam isu tanah peneroka di Ijok, kata Pegawai Khas Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah Husin berkata, kenyataan Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimi Shafiei semalam tidak menjawab soalan pokok mengenai kewajaran kerajaan Selangor membayar kepada dua syarikat, LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd yang sudah kalah kes di mahkamah.

“Sudah menjadi rahsia umum Selangor mempunyai Menteri Besar yang kaki taichi terutama yang melibatkan isu integriti dan dakwaan salah laku.

“Kenyataan YB Shuhaimi, Setiausaha Politik MB langsung tidak menjawab isu pokok yakni mengapa kerajaan negeri berusaha menyelamatkan-bailout pemaju yang curang kepada peneroka, pembeli rumah dan kerajaan negeri?

“Sebaliknya beliau lebih kepada membuat serangan peribadi terhadap YB Tan Sri Khalid malah terhadap saya sendiri,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Faekah membidas rakan-rakan kartel Azmin kini kepanasan susulan isu tanah Ijok mendapat perhatian umum sehingga mengulangi fitnah terhadap beliau dan Khalid yang digunakan semasa Langkah Kajang 2014 lalu.

“Di sambut pula oleh sekawan kartel yang kini turut merasai bahang dan kepanasan dengan isu yang dibangkitkan.

“Nampaknya dengan pendedahan oleh Khalid, ramai pemimpin Pakatan terutamanya PKR telah mula mengulangi tohmahan fitnah yang mereka guna pada Langkah Kajang 2014 dahulu.

“Justeru, adalah perlu bagi saya mengeluarkan kenyataan ini demi memberi penerangan kepada mereka yang kurang mengetahui apa yang berlaku sebelum, ketika dan selepas Langkah Kajang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faekah mengingatkan kembali pemimpin PKR supaya tidak lupa kes mahkamah yang mereka kalah sebelum ini sehingga terpaksa meminta maaf kepada Khalid.

“Malah ia juga bagi mengingatkan pemimpin Pakatan khusus PKR jangan ulangi dosa-dosa yang kamu buat dahulu sehinggakan memaksa pemimpin tertinggi kamu melutut di mahkamah memohon kemaafan.

“Ketika kempen menjatuhkan Khalid, pimpinan PKR telah menjaja setebal 91 mukasurat dokumen fitnah yang kononnya Khalid adalah seorang yang korup, zalim, tidak boleh dipercayai, tidak bersikat telus, tidak jujur, tidak beretika, tidak amanah, tidak berintegriti telah terlibat melakukan rasuah dan salah laku termasuk dalam kes penyelesaian hutang peribadi dengan Bank Islam dan tidak layak menjadi MB,” katanya.

Faekah merujuk kepada saman Khalid berhubung pengedaran dokumen laporan Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor ke atas Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Azmin didesak menjelaskan isu tanah bernilai RM1.18 bilion yang dijual kepada dua syarikat pada 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu dibuat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.

Soalnya, apa justifikasi Azmin menyerahkan tanah itu walaupun keputusan mahkamah rayuan memihak kepada Khalid dan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette