Home Ekonomi Harga Brent susut, WTI naik

Harga Brent susut, WTI naik

SINGAPURA – Pasaran minyak terbahagi dalam dagangan hari ini dengan harga minyak mentah Amerika Syarikat melonjak disebabkan penurunan bekalan dari Kanada manakala harga Brent pula merosot.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$ 62.16 setong pada 0153 GMT, naik AS$0.48 sen atau 0.8 peratus.

Para pedagang berkata, kenaikan harga WTI disebabkan kemerosotan minyak dari paip Keystone, Kanada yang beroperas di bawah kapasiti sejak akhir tahun lalu kerana masalah kebocoran, sekali gus mengurangkan bekalan kepada Amerika Syarikat.

Di luar Amerika Utara, minyak mentah Brent merosot dipacu oleh penurunan saham-saham Asia dan pengukuhan dolar yang berpotensi mengekang permintaan kerana harga minyak lebih mahal bagi negara-negara yang menggunakan mata wang domestik.

Niaga hadapan Brent pada harga AS$65.23 setong, susut AS$0.44 berbanding harga penutup.

Meskipun begitu, pasaran minyak terus disokong dengan kawalan bekalan oleh OPEC sejak tahun lalu bagi menangani lebihan inventori global.

Setiausaha Agung OPEC, Mohammad Barkindo berkata, organisasi itu merekodkan 133 peratus pematuhan pengurangan bekalan pada bulan Januari berbanding 107 peratus pada tahun lalu.

Permintaan minyak global bagi tahun 2018 diunjur berkembang kepada 1.6 juta tong sehari disebabkan persekitaran yang menggalakkan, kata Barkindo. – MalaysiaGazette