Home Ekonomi Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemicals RM5.24b

Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemicals RM5.24b

KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemicals Group Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017, meningkat kepada RM5.24 bilion daripada RM4.11 bilion pada 2016.

Hasil naik kepada RM14.41 bilion daripada RM13.86 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu berkata hasil tinggi itu disumbang terutamanya daripada harga produk yang bertambah baik dan kuantiti jualan tinggi, serta mendapat manfaat daripada kekukuhan dolar AS.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga meningkat sebanyak RM1.3 bilion atau 25 peratus kepada RM6.6 bilion dan keuntungan selepas cukai naik sebanyak RM1.2 bilion atau 37 peratus kepada RM4.4 bilion, sejajar dengan hasil tinggi,” kata syarikat itu.

Pada masa hadapan, Petronas Chemicals berkata keputusan operasi kumpulan dijangka dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran dan harga produk petrokimia yang mempunyai perkaitan tinggi dengan harga minyak mentah, terutamanya bagi segmen Olefin dan Derivatif. – MalaysiaGazette