Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja berminat untuk bertanding di Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) malah di beberapa kawasan lain termasuk Putrajaya.

Secara berseloroh beliau berkata, pertambahan pengundi di kawasan Parlimen Pekan menjadi salah satu faktor menarik kepadanya untuk bertanding.

“Pekan memanglah Alor Setar pun pekan juga, pekan Melayu, pekan Cina. Tapi saya nak pergi ke Pekan saya nak tengok orang Pekan dulu ada 35,000 pengundi di Pekan sekarang ada 80,000 pengundi jadi saya nak tahulah siapa yang tambah-tambah ni, mana dia (pengundi) itu duduk ini sedang dikaji oleh kita,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari ini.

Terdahulu Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Namun beliau meneruskan teka-teki apabila menambah akan muncul di kawasan lain lagi termasuk Putrajaya kerana menyifatkan dirinya diterima di Parlimen itu.

“Kita nak bagitahu kepada Datuk Seri Najib Razak saya akan menjelma di banyak kawasan-kawasan termasuk Putrajaya. Saya cukup popular di Putrajaya ambil gambar tidak berhenti, tempat saya lain pun saya nak pergi juga. Saya nak pergi Pekan,” tambahnya.

Beliau terdahulu berteka-teki tentang kawasan yang akan ditandinginya namun selalu menyebut tiga kawasan iaitu Langkawi, Putrajaya dan Kubang Pasu.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Pakatan Harapan akan membuat rayuan kepada mahkamah terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada Khamis ini kerana tidak memberikan respon terhadap permohonan parti itu untuk menjadi sebuah gabungan pembangkang. -MalaysiaGazette