Razali Ibrahim

BANGI – Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim tidak gentar dengan cabaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu meletakkkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Meletakkan asas demokrasi dalam sistem pentadbiran negara, Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Ketua Pemuda PPBM itu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang dikehendakinya.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan untuk memilih wakil rakyat dilakukan oleh pengundi dan mereka lebih bijak menilai untuk memilih wakil yang mampu membawa suara mereka sama ada di peringkat Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pergilah mana tempat nak bertanding ikut mana dia boleh menang. Lompat sana, lompat sini. Gunakan matematik, tengok berapa pengundi Melayu, berapa pengundi Cina, berapa sokongan dulu, berapa majoriti. Itu yang dibuat oleh pembangkang, kita jaga pengundi, akhirnya pengundi buat keputusan,” katanya.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah PPBM yang mahu meletakkan Syed Saddiq untuk bertanding kerusi Parlimen di utara Johor pada PRU akan datang.

PPBM diperuntukkan dua kerusi Parlimen di utara Johor, iaitu Pagoh dan Muar oleh Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Razali juga mempersoalkan sejauh mana Syed Saddiq mengenali masyarakat dan pengundi-pengundi di Muar.

Katanya, Syed Saddiq perlu tahu selok-belok di kawasannya terlebih dahulu termasuk mengetahui berapa banyak jumlah kampung, berapa banyak masjid, berapa banyak sekolah, berapa banyak kuil dan sebagainya.

“Berapa banyak kali dia pernah turun ke Muar? Kalau setakat nak jumpa waktu pilihan raya dan orang suka, saya tak boleh buat apa.

“Saya tak terdidik dan diajar politik sebegitu rupa. Kita bercakap mengenai perkhidmatan. Bertandinglah dimana nak bertanding sebab itu demokrasi.

“Saya tidak ada kawalan untuk sekat siapa-siapa datang, cuma saya harap pengundi di Muar dan seluruh negara meletakkan asas demoktrasi itu bagaimana,” ujarnya. – MalaysiaGazette